‘Dapat pencen pun bukan boleh hidup mewah’

‘Dapat pencen pun bukan boleh hidup mewah’

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wakil rakyat masih tidak boleh hidup mewah dengan pencen yang mereka peroleh selepas tidak lagi berkhidmat untuk rakyat di kawasan masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berkata, beliau tidak boleh menolak dan bersetuju terus dengan pemansuhan pencen termasuk kepada ahli politik, sebaliknya perlu memperhalus perancangan kerajaan dan ahli politik terlebih dahulu.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, ini kerana ia melibatkan perlembagaan dan perlu dibawa ke Parlimen.

“Mungkin selepas ini kerajaan mencadangkan beberapa pendekatan. Mungkin boleh ambil satu saja. Misalnya kalau ambil gaji asas ahli Parlimen kita lebih kurang RM16,000, maksudnya 60 peratus (untuk pencen), maka dapat RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini dan harga barang, saya rasa nilai itu memang kita tidak boleh hidup mewah, hidup sederhana kalau tidak dipilih lagi menjadi wakil rakyat.

“Kita juga ada kereta, rumah, sama seperti orang lain. Kehidupan kita macam orang lain juga. Pencen pun dapat bermula ketika usia 50 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, bekas wakil rakyat yang mempunyai lebih daripada satu pencen boleh menolaknya jika mereka mempunyai tanggungjawab moral berbuat demikian

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara itu terserah kepada individu berkenaan termasuk dalam kalangan yang pernah memegang jawatan menteri dan menteri besar sekiranya berpendapat langkah itu dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd, Sany berkata, masyarakat melihat wakil rakyat boleh hidup senang, namun tetap mempunyai cabaran.

Katanya, ini kerana ahli politik kadang kala menggunakan hasil pendapatan yang diperoleh untuk peringkat nasional, negeri dan kawasan parti.

Malah, katanya, ada sesetengah gaji wakil rakyat masuk ke parti politik dahulu sebelum dibayar kepada mereka.

“Contoh di kawasan, saya buka dua pusat khidmat dan ambil staf banyak, kadang kala kita terpaksa guna duit gaji untuk tampung perbelanjaan lain di kawasan.

“Kita ini pun parti yang sudah berkembang membesar, keahlian ramai dengan pelbagai program dan acara, memang kita dijadikan sasaran dan tumpuan ahli-ahli parti dapatkan sumbangan dan bantuan dana untuk melaksanakan program sama ada di kawasan, negeri atau biro-biro,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng tidak bersetuju dengan prinsip di sebalik pemansuhan pencen penjawat awam dan ahli politik.

Bekas ADUN Pelagus itu turut mempersoalkan, mengapa sesiapa yang telah berkhidmat dengan kehidupan bekerja untuk rakyat, dikecualikan daripada apa yang menjadi haknya?

Justeru, katanya, pilihan yang lebih baik ialah menaikkan umur bekerja penjawat awam atau mengetepikan peratusan lebih tinggi jawatan kerajaan untuk dibiarkan kosong.

“Isu utama hari ini ialah negara terlalu banyak membayar pencen, sedangkan hakikatnya terlalu ramai penjawat awam, jadi untuk mengatasinya, sama ada kita tambah umur bekerja penjawat awam atau kita tingkatkan peratusan jawatan kosong dalam perkhidmatan awam (kerana) saya difahamkan terdapat pekeliling beberapa tahun yang lalu untuk mengetepikan 10 peratus daripada semua jawatan kerajaan yang kosong

“Perkhidmatan awam Malaysia adalah antara yang terbesar di dunia, dengan 1.7 juta penjawat awam kepada 32 juta penduduk, nisbah 4.5 peratus berbanding nisbah Singapura 1.5 peratus penjawat awam kepada jumlah penduduk, Hong Kong 2.3 peratus dan nisbah Taiwan 2.3 peratus.

“Jika kita mengikut penanda aras negara jiran, Malaysia hanya memerlukan sekitar 900,000 kakitangan awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN