PETALING JAYA: DAP bukan rakan kongsi yang baik dalam gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan berikutan tidak mengambil kira sensitiviti rakan Melayu mereka dalam pakatan itu.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, sepatutnya DAP tidak membuat sebarang kenyataan sensitif yang boleh ‘menyinggung’ rakan-rakan Melayu Islam dalam kerajaan perpaduan.
“Dalam Pakatan Harapan ada PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dan sekarang ini ada Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS)
“Maka usulan (sensitif) yang dibuat itu tidak mengambil kira sentimen rakan-rakan Melayu Islam dalam pakatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
PRINSIP
Semalam, akhbar ini melaporkan, UMNO menegaskan parti itu kekal dengan prinsip yang diperjuangkan sejak dahulu walaupun kini berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama dengan seteru lama, DAP.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, parti itu sentiasa tegas sekiranya melibatkan isu orang Melayu dan agama Islam walaupun dibangkitkan oleh pemimpin lain dalam kerajaan.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sivamurugan berkata, pemimpin DAP harus bertindak melindungi masyarakat Islam serta mempertahankan hak bukan Islam.
Menurutnya, sekiranya kenyataan sensitif berterusan, ia boleh meruntuhkan hubungan dalam parti kerajaan.
Malah, katanya, ia juga dikhuatiri boleh menyebabkan kerajaan perpaduan kehilangan atau berhadapan dengan defisit kepercayaan daripada rakyat.
DALAMAN
“Harapnya 2024 ini ada satu mekanisme atau platform secara dalaman yang boleh diguna pakai oleh parti kerajaan sebelum mengungkap atau mengeluarkan mana-mana kenyataan.
“(Mekanisme atau platform) itu dirujuk dan memastikan itu tidak menggambarkan sokong bawa rebah.
“Apatah lagi hari ini media sosial telah membentuk komuniti alammaya dan dengan segera menghukum menuai meneliti.
“Memang mudah memohon maaf, tetapi akan wujud luka kesan berpanjangan, jadi bagi saya 2024 DAP harus memperbetulkan landasan memastikan bahawa dalam mahu pertahankan hak mereka, harus juga melindungi hak orang Islam,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, kerajaan perpaduan juga disaran untuk mewujudkan jawatankuasa hubungan antara kaum seperti mana pada 1940-an.
“Komuniti itu membincangkan perkara sensitif secara tertutup dan di luar menunjukkan kematangan untuk mempertahankan perkara yang perlu dipertahankan,” katanya. – UTUSAN










