Buat aduan terus ke KPM jika harga makanan kantin naik - Fadhlina - Utusan Malaysia

Buat aduan terus ke KPM jika harga makanan kantin naik – Fadhlina

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) beramah mesra sambil mengedarkan pelitup muka kepada murid SJKC Yeong Chang di Sungai Suloh, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sebarang kenaikan harga makanan di kantin sekolah pada sesi persekolahan akan datang hendaklah diadukan terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek meminta setiap sekolah mengambil tindakan sewajarnya kerana isu berkaitan kantin adalah antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Walau bagaimanapun, katanya, KPM akan memberi perhatian sewajarnya sekiranya ada aduan yang disampaikan ke kementerian tersebut, namun setakat ini belum ada aduan sedemikian.

“Sekiranya ada aduan, setakat ini mungkin berlaku antara pihak sekolah dan kantin. Jadi, kita minta ia diselesaikan secara baik. Namun, sekiranya ada isu berkaitan dan ia terus berbangkit, bolehlah buat aduan terus kepada kita (KPM),” katanya ketika diminta mengulas berkenaan harga makanan di kantin sekolah pada sesi persekolahan akan datang.

Beliau berkata demikian kepada selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar, di sini hari ini. 

Lawatan itu bertujuan meninjau persiapan sesi persekolahan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir memandangkan kedua-dua sekolah itu antara yang terkesan akibat bencana itu sebelum ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM akan terus berusaha menyatukan pasangan ‘guru jarak jauh’ dengan mempertimbangkan semua permohonan berdasarkan kepentingan pendidikan dan dilakukan mengikut prosedur serta proses sedia ada.

Katanya, pelbagai faktor akan dilihat dan pihaknya  memandang serius guru gagal mendapat tempat pertukaran atau berada dalam situasi perhubungan jarak jauh dan proses permohonan pertukaran berlangsung secara berterusan, iaitu empat kali setahun berdasarkan rekod cuti sekolah.

“Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan, faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran adalah suami isteri yang terpisah secara jauh,” katanya.

Sebelum ini, tular luahan sekumpulan guru wanita dan lelaki ‘duka lara’ dalam kumpulan Facebook dikenali ‘e-Gtukar Pertukaran Guru – Oh e-Gtukar!’ yang berkongsi masalah peribadi selepas berkali-kali gagal dalam permohonan pertukaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya