BATU PAHAT: Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 34, sejak 14 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mengesahkan penahanan itu memaklumkan dua individu tersebut ditahan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.
“Buat masa ini kita masih lagi membuat siasatan dan ada perkembangan yang saya rasanya saya ‘reserve’ (rahsia) dulu (namun) saya sahkan ada dua tangkapan dan kita telah reman mereka ini.
“Saya tak boleh beritahu (secara terperinci) kerana kalau dedahkan mungkin sensitif kerana siasatan sedang berjalan nanti orang nak bawa keluar Bella pun tak jadi bawa keluar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Sri Gading, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah.
Bangunan Balai Polis Sri Gading dan enam unit kediaman mula dibina tahun 1919 sebelum dirobohkan pada 2003 dan dibina semula serta beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2008
Dalam pada itu, Kamarul Zaman percaya Mira Sharmila yang lebih dikenali sebagai Bella masih berada dalam negara.
Terdahulu, ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang selepas keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Walau bagaimanapun, selepas tarikh itu kelibat wanita tersebut gagal ditemukan, termasuk gahal dihubungi dan mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda sahaja.
Kakaknya, Norhisham Samsusah, 36, serta ahli keluarganya tampil membuat laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.
Susulan itu, lima individu diambil keterangan bagi membantu siasatan termasuk teman lelaki Bella yang berusia 24 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 Disember tahun lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN