Bantuan bulanan SARA tidak cukup, kos sara hidup tinggi

Bantuan bulanan SARA tidak cukup, kos sara hidup tinggi

NILAI bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dikatakan tidak sepadan dengan harga barang yang semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memfokuskan kepada golongan miskin dan miskin tegar secara bulanan tidak mencukupi kerana kos sara hidup yang tinggi selain keperluan isi rumah yang berbeza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (PPPM), Sukhdave Singh berkata, bantuan RM100 sebulan kepada isi rumah dan golongan warga emas adalah tidak memadai.

Menurutnya, setiap isi rumah yang layak (empat orang merangkumi ibu bapa dan dua orang anak) sekurang-kurang­nya diperuntukkan RM300 se­bulan manakala bagi warga emas RM200 dan RM250 kepada warga emas tidak berpencen.

DIAGIHKAN

Terdahulu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk SARA kepada 700,000 penerima yang layak yang mula diagihkan mulai hari ini.

Sukhdave berkata, peningkatan jumlah peruntukan kese­luruhan boleh dicapai jika kerajaan mampu mengawal ketirisan kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya Dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, sukar untuk mengatakan SARA itu mencukupi untuk setiap isi rumah dan bujang.

“Apabila kerajaan beri bantuan, ada yang bising apatah lagi tidak memberi bantuan.

“Persoalannya adakah kerajaan mempunyai duit untuk meningkatkan bantuan itu?,” soalnya.

Kata Jacob, kerajaan tidak mempunyai masalah sekiranya ingin meningkatkan jumlah bantuan itu namun kajian perlu dilakukan supaya ia adil kepada semua penerima.

Menurutnya, ia berikutan terdapat kecacatan pada kelas pendapatan yang wujud di Malaysia.

Selain itu, katanya, penerima bantuan tidak boleh membandingkan jumlah yang diperuntukkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

EKOSISTEM

“Di sana mereka ada masalah kritikal sebagai contoh ekosistem, hospital, lebuh raya dan miskin tegar berban­ding Semenanjung yang maju. Sekiranya dibandingkan ini akan membangkitkan isu lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr Lee Nan Sang berkata, ini bukan soalan cukup atau tidak tetapi ia satu keprihatinan kepada rakyat dan golongan tertentu yang memerlukan.

“Memandangkan keadaan ekonomi ketika ini yang agak susah terutamanya golongan B40 atau tidak berkemampuan, bantuan RM100 setiap bulan jauh lebih bagus dari tidak diberi apa pun,” katanya.

Jelasnya, bagi golongan miskin, ia satu bantuan yang sangat diperlukan.

“Selain daripada bantuan SARA, saya berharap pihak kerajaan mampu memperbaiki keadaan ekonomi yang semakin teruk ini.

“Sekurang-kurangnya dapat mengawal harga barangan keperluan harian dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN