JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa terus berkurangan dengan seramai 1,130 orang daripada 321 keluarga masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding seramai 1,495 mangsa di 14 PPS pada pukul 6 petang semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, Mersing merekodkan jumlah mangsa paling ramai, iaitu 611 mangsa di empat PPS, diikuti Kota Tinggi dengan 255 orang di empat PPS.
“Kluang pula merekodkan seramai 153 mangsa di dua PPS; Segamat seramai 88 mangsa di dua PPS dan Batu Pahat dengan 23 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, banjir yang sejak awal bulan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.
“Walau bagaimanapun, Jabatan Meteorologi masih mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Paras air di dua sungai masih berada pada tahap berbahaya, iaitu Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat dan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang,” katanya. – UTUSAN










