PETALING JAYA: Lebih 30,000 pensyarah di 20 universiti awam di negara ini berdepan beban kerja berlebihan, gaji rendah dan tidak diiktiraf sebagai ahli akademik yang memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Dr. Ahmad Ismail berkata, sudah tiba masanya satu formula dihasilkan oleh kerajaan dengan matlamat menyelesaikan tiga isu pokok tersebut dan memastikan produktiviti golongan pensyarah dapat ditingkatkan.
“Pensyarah adalah manusia, bukannya mesin. Jadi, memang tidak sepatutnya mereka bekerja di bawah tekanan. Jika kita lihat pada graf produktivit pensyarah, pada saya ia masih rendah oleh kerana beban-beban kerja yang tidak sepatutnya.
“Pensyarah sekarang terpaksa memberi kuliah lebih masa, iaitu melebihi jumlah jam kerja seminggu. Ini kerana kita bukan sahaja perlu mengajar tetapi juga penyelidikan, penyeliaan pelajar dan banyak lagi. Ini yang membuatkan pensyarah menjadi terbeban.
“Beban-beban ini menyebabkan kebanyakan pensyarah tidak dapat memenuhi peluang-peluang disediakan oleh kerajaan seperti menghadiri kursus ataupun sertai bengkel terkemuka kerana waktu yang ada sangat terhad,” katanya ketika dihubungi.
Mengikut statistik Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2021, jumlah pensyarah tempatan di Universiti Malaya (UM) adalah 1,891 orang, Universiti Sains Malaysia (1,972), Universiti Kebangsaan Malaysia (1,982), Universiti Putra Malaysia (1,799) dan Universiti Teknologi Malaysia (1,607).
Universiti Utara Malaysia pula 1,174 pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1,738), Universiti Malaysia Sarawak (770), Universiti Malaysia Sabah (995), Universiti Pendidikan Sultan Idris (836), Universiti Teknologi Mara (8,908), Universiti Sultan Zainal Abidin (660) dan Universiti Malaysia Terengganu (629).
Sementara itu, sebanyak 758 staf akademik bertugas di Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (1,080), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (839), Universiti Malaysia Pahang (729), Universiti Malaysia Perlis (1,110), Universiti Malaysia Kelantan (511) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (392).
Ini menjadikan pada 2021 sebanyak 30,380 pensyarah atau staf akademik warganegara bertugas di 20 universiti awam.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, sekiranya tiga isu berkenaan gagal diatasi, ia boleh mendatangkan kesan terhadap pembelajaran dan produktiviti pensyarah.
“Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan menjadi tidak efektif dan ini memberi kesan kepada kualiti graduan serta bakat manusia negara. Malah menyebabkan pembangunan penyelidikan berimpak tinggi tidak dapat dicapai.
“Jika tidak dapat diselesaikan akan menyebabkan lepakaran pensyarah tidak dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Hasilnya, kerajaan membuat banyak kesilapan dalam membuat keputusan,” katanya. – UTUSAN









