PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyelamatkan lebih 300 mangsa sindiket penipuan di luar negara sejak melakukan misi tersebut pada 2022.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, MHO yang ditubuhkan 2016 mulanya lebih kepada aktiviti bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman kepada komuniti rentan membabitkan pelbagai isu masyarakat.
“Masuk awal tahun ini, masa untuk kita bertindak dengan lebih agresif dan cukuplah sudah segala kempen kesedaran bahaya terjebak dengan ‘scammer’,” katanya ketika dihubungi.
Namun, menurut beliau, sejak dua tahun lalu, organisasi bukan kerajaan (NGO) itu mula aktif membantu mangsa-mangsa sindiket jenayah tawaran pekerjaan palsu di luar negara.
Terbaharu, tujuh rakyat Malaysia yang dipaksa bertugas sebagai ejen penipuan di Laos berjaya dibawa balik setelah terperangkap di negara itu lebih lima bulan.
Bagaimanapun, kepulangan mereka mencetuskan kekecohan apabila kumpulan itu pula mendakwa kononnya tidak pernah dibantu MHO dan segalanya atas inisiatif sendiri.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, isu ini kes terpencil dan disyaki mungkin terdapat individu tertentu cuba menghasut mereka dengan ‘skrip’ untuk menipu.
“Saya fikir ada pihak ketiga tidak berpuas hati dengan cara kerja MHO di sana,” jelas beliau namun enggan mendedahkan pihak tersebut.
Senario di Laos kata beliau, berbeza dari Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Thailand apabila kedutaan Malaysia di situ sanggup membantu malah cepat memberikan respons.
Justeru, beliau merancang mengadakan sesi ‘kunjung hormat’ ke atas Duta Besar Malaysia di Vientiane, Edi Irwan Mahmud agar isu tersebut dapat ditangani segera.
“Saya juga sokong tindakan polis menahan mereka sejurus tiba sebelum dibawa ke balai berdekatan untuk saringan ketat dan melepaskan mangsa yang tulen,” tegasnya.
Bagi yang menyamar, beliau berharap pihak berkuasa menyenaraihitamkan pasport mereka untuk disekat ke luar negara sebagai pengajaran
Laos katanya, bukanlah macam Myanmar yang huru-hara dengan perang dan pihak polis di sana sedia membantu NGO luar jika terdapat mangsa terjebak sindiket tersebut. –UTUSAN










