18 sekolah di Johor sedia dijadikan PPS sepanjang tempoh SPM - Utusan Malaysia

18 sekolah di Johor sedia dijadikan PPS sepanjang tempoh SPM

AZMAN Adnan (tengah) meraikan para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 buah sekolah di negeri ini  dikenal pasti untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berlangsung.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan, Azman Adnan berkata, 18 sekolah itu melibatkan 21 pusat peperiksaan di enam daerah, iaitu Batu Pahat; Segamat; Kluang; Kota Tinggi; Kulai dan Tangkak.

“Daerah Batu Pahat melibatkan tujuh pusat peperiksaan di lima buah sekolah; diikuti Segamat dengan empat pusat peperiksaan di empat buah sekolah, Kluang dan Kota Tinggi masing-masing tiga pusat peperiksaan di tiga buah sekolah, manakala di Kulai dengan tiga pusat peperiksaan di dua buah sekolah dan sebuah pusat peperiksaan di Tangkak.

“Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, SMK Yong Peng, SMK Kahang,  SMK Seri Aman;, SMK Tun Seri Lanang dan SMK Chaah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran; Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat; Pengetua STF, Radziah Mohd. Din dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.

Azman turut memberitahu, sebanyak 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berdepan banjir sepanjang tempoh monsun timur laut, ketika ini.

Beliau turut memaklumkan seramai 48,426 calon menduduki SPM 2023 di 364 pusat peperiksaan di 301 buah sekolah di negeri ini.

“Seramai 161 orang merupakan calon berkeperluan pendidikan khas, dengan seramai 5,018 orang petugas terlibat sepanjang peperiksaan ini berlangsung,” jelasnya.

Terdahulu, Azman turut menyampaikan kata-kata semangat kepada seramai 148 calon SPM 2023 di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya