UTM miliki telaga akuifer, mampu jana sejuta liter air sehari - Utusan Malaysia

UTM miliki telaga akuifer, mampu jana sejuta liter air sehari

AHMAD FAUZI ISMAIL (tengah) melihat sumber air bawah tanah di telaga air akuifer sambil diberi penerangan oleh Edy Tonnizam (kanan) di UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama memiliki telaga air akuifer batuan yang dapat menjadi sumber alternatif bekalan air bersih untuk menampung keperluan warganya pada masa depan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, sumber air itu yang dikesan sejak dua tahun lalu mula dijadikan penyelidikan dalam melestarikan pembangunan sumber air di kampus menggunakan sistem teknologi membran serta berhasrat mengintegrasikan hasil penyelidikan itu dalam perancangan pembangunannya.

“Hasrat ini telah digerakkan menerusi inisiatif pembangunan sumber air bawah tanah hasil penyelidikan tenaga pakar UTM yang kini direalisasikan dengan pewujudan telaga air akuifer batuan, ini adalah satu penemuan yang hebat.

“Projek penerokaan sumber akuifer batuan ini merupakan salah satu projek di bawah program ‘Translational Research@Campus’, inisiatif pihak pengurusan UTM dalam membangunkan projek-projek penyelidikan berimpak tinggi dan signifikan kepada pengurusan sumber di UTM untuk kepentingan warga kampus,” katanya pada majlis penyerahan telaga air di Hutan Rekreasi UTM, di sini yang turut dihadiri Timbalannya (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad.

Telaga air akuifer batuan itu mempunyai kedalaman 158 meter dan mampu menghasilkan satu juta liter air sehari dan dijangka boleh digunakan 7,000 orang.

Ahmad Fauzi berkata, sesi penyerahan itu menjadi simbolik bagi kesinambungan pelaksanaan projek penjanaan sumber air lestari daripada fasa penyelidikan oleh Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotroik) kepada fasa pembangunan aplikasi telaga.

Katanya, hasrat itu selari dengan Strategi 4P untuk menjayakan Ekonomi Madani dalam konteks Pendidikan Tinggi Negara yang disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ogos lalu.

“Inisiatif pembangunan projek ini dilihat memenuhi dua daripada empat strategi berkenaan menerusi strategi ‘Penyelidikan dan Inovasi’ serta ‘Pemindahan dan Perkongsian Ilmu’ dalam membantu negara menghadapi cabaran utama di samping meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“Menjadi hasrat UTM untuk kembangkan projek ini supaya dapat jimatkan perbelanjaan dan jana pendapatan, perancangan seterusnya adalah untuk mempromosikan kepada pihak industri,” katanya.

Dalam pada itu, Edy Tonnizam berkata, penemuan telaga air akuifer batuan itu dapat membantu universiti mengurangkan kebergantungan terhadap sumber sedia ada serta menjimatkan kos utiliti bagi penggunaan air di dalam kampus.

Ketua Program UTM- Water Translational Research itu berkata, kewujudan sumber alternatif ini juga berpotensi membangunkan industri hiliran yang boleh menjana pendapatan yang lestari bagi universiti tersebut.

“Telaga air akuifer batuan ini sesuai dijadikan sebagai produk tarikan utama yang baharu dalam kawasan hutan rekreasi UTM. Hutan rekreasi berkeluasan 3.5 kilometer persegi ini kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna serta mempunyai pokok hutan tropika bernilai tinggi yang telah ditanam semula menerusi kerjasama UTM dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 2015,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya