UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel kerjasama dengan LZRVTC - Utusan Malaysia

UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel kerjasama dengan LZRVTC

YUSERRIE Zainuddin (kiri) menerima replika cek bagi penubuhan Pusat Latihan Rel UMPSA yang disampaikan Qin Haibo (kanan) dengan disaksikan Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) di Gebeng, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan menubuhkan Pusat Latihan Rel di universiti itu dalam memperkasa bidang kejuruteraan dan teknologi rel yang menyokong agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia merupakan kerjasama strategik antara UMPSA dan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC), sebuah institusi pengajian yang terletak di Guangxi, China.

Kerjasama tersebut berasaskan kemahiran berfokus kepada bidang teknologi dan kejuruteraan rel serta menjadi pusat rujukan bagi industri rel di selatan Negara China.

Pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Pemasangan Landasan Pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gebeng di sini berlangsung majlis penyerahan replika cek bernilai RM5.6 juta bagi pendidikan berkaitan rel melibatkan perisian program, modul latihan dan lain-lain untuk manfaat pelajar.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin menerima replika cek disampaikan Presiden Liuzhou Railway Vocational Technical College, Qin Haibo dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Yuserrie, UMPSA mempunyai kerjasama dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) bermula pada 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027.

“UMPSA turut bekerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi Program Ijazah Dual membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak 2020 yang mana para pelajar program berkenaan mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kerjasama ini juga memberi peluang kedua-dua pihak meneroka potensi dalam projek ECRL antaranya penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan rel serta kerjasama akademik dalam bentuk pensijilan terbuka dalam bidang ini sebagai nilai tambah terhadap kebolehpasaran graduan bergaji premium,,“ katanya ketika ditemui di Gebeng di sini.

Pijak CCCC merupakan kontraktor utama kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek bagi projek ECRL dan LZRVTC, Guangxi, China menjalankan latihan TVET untuk tenaga kerja ECRL yang merupakan projek milik MRL.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, penubuhan pusat latihan terbabit merupakan yang pertama negeri ini yang dijangka siap pada 2026.

Katanya, dengan penubuhan pusat latihan terbabit bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda negeri ini.

“Mereka sudah mempunyai institusi di sana dan kita akan bekerjasama dengan mereka supaya anak-anak tempatan boleh diberikan latihan secukupnya dalam bidang yang mereka inginkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya