Tunjong bakal jadi pusat pentadbiran baharu Kelantan

Tunjong bakal jadi pusat pentadbiran baharu Kelantan

MOHAMED Fadzli Hassan (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran RKK Bandar Baru Tunjong dan Kit Invest Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meramalkan Bandar Baru Tunjong bakal menjadi pusat pentadbiran baharu di negeri ini termasuk pertumbuhan ekonomi pada tahun 2035.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, situasi itu sudah dapat dilihat apabila jabatan dan agensi kerajaan sudah berpindah ke kawasan itu termasuk Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurutnya, selepas ini beberapa lagi jabatan serta agensi kerajaan termasuk Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Jabatan Audit Negara (JAN) Negeri Kelantan akan turut berpindah ke kawasan tersebut.

“Sekarang ini sudah banyak jabatan-jabatan persekutuan sudah berada di situ seperti Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kompleks Mahkamah dan Kompleks Mahkamah Syariah. Malah Bangunan Gunasama Persekutuan yang berskala besar juga hampir siap.

“Kota Bharu kita ini sudah sesak dan akan menjadi pusat bandar lama di negeri ini. Di Bandar Baru Tunjong nanti suasana dan pembangunannya akan lebih tersusun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong 2035 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan memberitahu, kerajaan berharap melalui RKK yang dilancarkan bersekali dengan Kit Invest Kelantan itu, Bandar Baru Tunjong akan muncul sebagai mercu tanda baharu bagi negeri ini.

Katanya, pembangunan Bandar Baru Tunjung melibatkan kawasan seluas 1779.80 hektar kini menjadi projek prima kerajaan negeri yang merangkumi dua bandar berdaya maju iaitu Madinatus As-Salam dan Madinah Ramadan.

“Sebenarnya pembangunan Bandar Baru Tunjong ini telah lama dirancang iaitu sejak era Tok Guru (Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi. Cuma ia mengambil masa untuk dibangunkan.

“Insya-Allah dengan adanya projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan beberapa projek penting di situ, kita melihat ia sebagai suatu pengembangan kepada pusat bandar Kota Bharu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Fadzli berkata, pembangunan RKK Bandar Baru Tunjong mengambil masa bermula tahun 2022 sehingga tahun 2035 dan sekiranya ada perubahan selepas itu, RKK baharu akan dibangunkan.

“Pelan RKK Bandar Baru Tunjung yang disediakan bersama Kit Invest Kelantan merupakan satu dokumen untuk menjadi panduan dalam sudut pengurusan yang membolehkan kerajaan negeri memantau setiap pembangunan yang dijalankan.

“Pada masa yang sama kita boleh menyediakan kemudahan sumber rujukan dan pembentangan kepada pelabur-pelabur mengenai apa yang telah ada, disediakan oleh kerajaan negeri dan apa pembangunan masa hadapan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN