PETALING JAYA: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang sebelum ini terkandas di Gaza, bimbang dengan keselamatan keluarga mentuanya di Khan Younis apabila dimaklumkan mentuanya menerima arahan daripada rejim Zionis untuk meninggalkan kediaman mereka tiga hari lalu.
Pada masa sama, Nurul Ain, 37, juga khuatir apabila sudah lima hari gagal menghubungi mereka sejak gencatan senjata ditamatkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, rakyat Palestin semua sedia maklum bahawa sekiranya menerima panggilan daripada tentera Israel untuk meninggalkan kediaman masing-masing itu bermaksud ia akan menjadi sasaran bedilan bom rejim Zionis.
Bagaimanapun, Nurul Ain berkata, setakat semalam, keluarga mentuanya masih tidak meninggalkan kediaman mereka.
“Setakat hari ini (semalam) saya masih belum dapat bercakap dengan Baba (ayah mentuanya), tetapi berdasarkan komunikasi dengan abang ipar yang tinggal tidak jauh, mereka memaklumkan keadaan masih selamat setakat ini.
“Sekiranya keadaan bertukar menjadi buruk, mereka sudah bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan kediaman tersebut namun masih tidak tahu ke mana harus dituju,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nurul Ain berkata, tiada lagi lokasi selamat untuk rakyat Palestin buat masa ini melainkan Al-Bahar iaitu kawasan tepi laut yang diberi jaminan oleh rejim Zionis sebagai kawasan ‘selamat’.
“Memang tak ada kawasan selamat, jika bergerak ke Rafah sekali pun mereka akan dibom juga. Jadi mereka memutuskan untuk menetap saja sementara waktu.
“Jika mereka mahu berlindung di sekolah, hospital atau kem pelarian lain, semuanya sudah penuh buat masa ini malah kawasan tersebut juga jadi sasaran tentera Israel,” katanya.- UTUSAN










