Terus pakai pelitup muka walaupun situasi Covid-19 terkawal - Utusan Malaysia

Terus pakai pelitup muka walaupun situasi Covid-19 terkawal

LING TIAN SOON (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Regency, Serena Yong (kanan) dan Timbalan Pengarah Pemasaran Antarabangsa, Quek Choon Yen (kiri) sempena perasmian International Patient Lounge di Hospital Regency, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai pelitup muka walaupun tiada peningkatan ketara kes Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, masyarakat tidak perlu berasa cemas atau bimbang kerana hanya 41 kes baharu dilaporkan setakat minggu lalu dengan penggunaan katil di hospital awam di bawah lima peratus.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menasihati orang ramai supaya ambil langkah berjaga-jaga, mereka juga digalakkan memakai pelitup muka di kawasan tumpuan.

“Nasihat ini penting terutamanya bagi individu berisiko tinggi serta mereka yang mempunyai penyakit kronik. Golongan ini perlu berwaspada, lebih-lebih lagi jika berada di kawasan yang mempunyai ramai orang dengan ruangan tertutup.

“Walaupun tiada peningkatan kes ketara direkodkan di Johor, sebaiknya prosedur operasi standard (SOP) sedia ada terus dipatuhi dengan memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Lounge Pesakit Antarabangsa di Hospital Pakar Regency, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-47, iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan minggu sebelumnya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura pula memaklumkan jumlah jangkitan Covid-19 meningkat dua kali ganda, iaitu sebanyak 22,094 kes antara tempoh 19 hingga 25 November lalu, berbanding 10,726 kes minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Tian Soon turut memberitahu, JKNJ telah mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi banjir termasuk memindahkan operasi klinik kesihatan berisiko ke dewan berhampiran bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu. 

“Kita ada pelan tindakan bagi menghadapi banjir, sebagai langkah berjaga-jaga, peralatan di klinik kesihatan juga akan diletakkan di kawasan yang tinggi untuk elak daripada rosak. Selain itu, kita juga sedia melakukan pemantauan dan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya