‘Tanah terbiar banyak, kenapa perlu tambak laut untuk

‘Tanah terbiar banyak, kenapa perlu tambak laut untuk perindustrian?’

MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek tambakan laut di kawasan seluas 274,859 hektar dari pesisiran pantai antara Klebang hingga Pantai Kundor di sini dijangka memberi kesan buruk kepada penduduk setempat dan nelayan, apabila ia bermula tahun depan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, projek berkenaan dilihat menggugat mata pencarian nelayan di enam pangkalan melibatkan lebih daripada 300 orang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, ia memberi banyak impak negatif bukan sahaja kepada nelayan tetapi melibatkan penduduk setempat iaitu masalah pencemaran, banjir, selain terjejasnya aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Katanya, rata-rata wakil penduduk dan nelayan berasa tidak puas hati sewaktu sesi taklimat dan soal jawab diadakan hari ini.

“Saya lihat pada sesi taklimat yang diadakan oleh Tetuan Leaptec Engineering Sdn. Bhd., dalam kalangan wakil penduduk, nelayan dan golongan profesional memang rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan projek tersebut.

“Projek ini tetap akan berjalan tahun depan tetapi masih ada peluang dan ruang kepada penduduk dan kita sebagai rakyat untuk menentang penambakan laut.

“Saya nampak projek ini satu benda yang tidak patut dibuat, hanya tambakan laut untuk perindustrian, padahal kita tahu di Melaka ini banyak tanah-tanah yang masih belum terbiar,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat berhubung Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) bagi projek berkenaan hari ini.

Tambah Mohd. Yadzil, pada Sidang DUN baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, kerajaan negeri membuka tanah-tanah baharu untuk pelaburan.

Soalnya, mengapa ia tidak digunakan sepenuhnya untuk menarik pelabur berbanding menambak kawasan pesisiran pantai dari Klebang hingga ke Pantai Kundor.

“Tanah-tanah tersebut masih belum penuh lagi sebagai contoh di Lipat Kajang masih banyak kosong. Yang ada beroperasi sebuah kilang Xinyi Glass dan masih ada kekosongan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN