Stok bekalan ditambah hadapi banjir gelombang ketiga

Stok bekalan ditambah hadapi banjir gelombang ketiga

AZMAN Ismail (kanan) melihat daging sejuk beku di bawah barangan kawalan sempena SHMMP Krismas 2023 di sebuah pasaraya di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan menambah sebanyak 30 peratus stok bekalan makanan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir gelombang ketiga.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, penambahan stok yang diperoleh daripada seramai 143 pemborong termasuk peruncit itu sudah bermula ketika ini dan ia berterusan sehingga Mac tahun depan.

Katanya, ketetapan itu dibuat bagi memastikan stok bekalan sentiasa mencukupi sekali gus memudahkan pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan.

“Penambahan stok itu akan disediakan oleh pemborong dan peruncit.

“Alhamdulillah, bekalan makanan seperti beras, gula, biskut, ayam, telur dan beberapa barangan kawalan lain di negeri ini cukup bagi keperluan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sebuah pasaraya di Kubang Kerian, hari ini.

Azman memberitahu, tambahan bekalan makanan semasa gelombang pertama dan kedua banjir baru-baru ini sudah mencukupi.

Katanya, selain itu, bekalan makanan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri kepada mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) juga cukup.

“Kita juga tidak menerima sebarang aduan sepanjang musim banjir mengenai tindakan badan bukan kerajaan (NGO) yang membeli barangan keperluan asas secara berlebihan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan penyeludupan barangan subsidi sepanjang musim banjir.

Menurutnya, KPDN sentiasa bekerjasama dengan semua pihak terutamanya agensi penguat kuasa dan keselamatan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

“Kita tidak nafikan limpahan air Sungai Golok tetap akan mendorong kepada kegiatan penyudupan di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada aduan diterima mengenai kegiatan penyeludupan setakat ini. Semua pihak sentiasa bersiap sedia supaya sempadan negara tidak mudah dibolosi oleh penyeludup,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN