Sidang DUN: Johor sasar pendapatan bulanan isi rumah RM13,000 menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Johor sasar pendapatan bulanan isi rumah RM13,000 menjelang 2030

ONN HAFIZ GHAZI menggulung perbahasan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor  menyasarkan supaya  penduduk negeri ini memperoleh purata pendapatan isi rumah bulanan berjumlah RM13,000 menjelang tahun 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, itu antara indikator utama bahawa misi menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tempoh itu berhasil.

“Antara indikator lain bahawa Johor telah menjadi sebuah negeri maju termasuk purata pertumbuhan negeri sebanyak tujuh peratus setahun bagi mencapai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030.

“Selain itu termasuk kadar pengangguran kekal di bawah tiga peratus, juga sifar miskin tegar,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, sekiranya hasrat tersebut dapat dicapai, Johor akan menjadi sebuah negeri dengan kelengkapan termoden dan keseimbangan kehidupan antara sosial dan ekonomi.

“Kita juga mahu capai semua kemajuan itu dengan acuan dan cara sendiri. Kita mahu kekalkan identiti Bangsa Johor, iaitu nilai murni, tinggi jati diri dan kekal identiti terus kukuh dalam diri. Inilah iltizam, visi dan halatuju kita. 

“Namun, ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dicapai dan boleh berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya  memerlukan perubahan pemikiran, pengorbanan, usaha dan komitmen tidak berbelah-bahagi daripada semua pihak,” katanya.

Antara komitmen kerajaan negeri dalam merealisasikan perkara itu adalah dengan memberi perhatian dan komitmen terhadap pembangunan ekonomi seperti Ibrahim International Business District (IIBD), Pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC), Kawasan Perindustrian Bersepadu Muar Furniture Park (MFP), Hab Pembangunan Sektor Minyak, Gas dan Petrokimia di Pengerang dan Muar serta Pembangunan Kawasan Johor Tenggara.

“Insya-Allah, lebih banyak pelaburan berkualiti akan kita terima, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang panjang seperti peluang pekerjaan dengan gaji tinggi yang akan beri manfaat bukan sahaja kepada Bangsa Johor tetapi juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam adalah untuk membakar motivasi mereka supaya bekerja lebih gigih, berdedikasi, efisien, berintegriti dan bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya