Samsuri boleh jadi PM jika Pas berjaya pujuk BN sokong PN - Utusan Malaysia

Samsuri boleh jadi PM jika Pas berjaya pujuk BN sokong PN

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika Pas berjaya memujuk Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Isham Jalil berkata,  dengan bertautnya kembali kerjasama dua parti terbesar Melayu dan Islam itu, tidak mustahil kerajaan perpaduan akan tumbang dan digantikan dengan kerajaan muafakat dalam masa terdekat.

“Jika UMNO tidak sokong, maka PN tidak akan boleh bentuk kerajaan sebelum PRU16.

“Walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, apa-apa ‘permutasi’ pun memerlukan 26 kerusi UMNO ini untuk menukar dan membentuk kerajaan,” kata beliau dalam kenyataan.

Menurut beliau,  jika Pas tidak berjaya mendapatkan sokongan BN maka parti itu bersama gabungannya  tidak akan boleh membentuk kerajaan. 

Oleh itu, menurut beliau, apa yang bakal terjadi akan bergantung kepada apa akan dilakukan oleh Pas selepas ini.

TERJADI

“Sebagai ahli UMNO, hasrat saya adalah apa-apa pun yang terjadi selepas ini akan memberi manfaat kepada UMNO dan perjuangan orang-orang Melayu dan Islam negara ini,” kata beliau.

Kata beliau, jika Pas gagal memujuk BN  maka parti itu perlu memenangi PRU16  yang bakal diadakan dalam tempoh empat tahun lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau, untuk menunggu PRU16 adalah satu tempoh yang lama dan terdapat kemungkinan besar ramai pemimpin pembangkang akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan dan jenayah.

“Ini akan memberikan pelbagai tekanan politik ke atas mereka. Bagaimanapun tekanan-tekanan ini tidak akan melemahkan parti mereka walaupun pemimpin parti mereka silih berganti, ini kerana Pas adalah parti yang lama dan telah berakar umbi dan mereka berpegang kukuh kepada ideologi dan perjuangan asal mereka yang sekian lama iaitu untuk menegakkan Islam di negara ini.

“Mereka akan terus menang dalam pilihanraya-pilihanraya walaupun beberapa pemimpin mereka didakwa malah tekanan-tekanan kerajaan akan menambah simpati rakyat terhadap mereka,” kata beliau.

Kenyataan Isham dipercayai ada kaitan dengan kemenangan besar diraih oleh Ahmad Samsuri di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Sabtu lalu yang didakwa sebagai pembuka pintu untuk PN menawan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya