Rombakan Kabinet: Pas dakwa Anwar mahu perkukuh kedudukan

Rombakan Kabinet: Pas dakwa Anwar mahu perkukuh kedudukan

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Amir Hamzah Azizan sebelum mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pasca rombakan di Putrajaya, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan jemaah menteri baharu hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan dalam masa sama mengurangkan peranan UMNO dalam Kabinet.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu jelas dapat dilihat apabila Anwar ‘mengimport’ orang luar berbanding memilih ahli Parlimen dalam kerajaan untuk membantunya menerajui kementerian tertentu.

“Saya tengok beberapa muka baharu yang bukan ahli politik dilantik di Kementerian Kewangan, dalam keadaan kita sebenarnya ada tokoh politik yang layak untuk di­letakkan di Kementerian Kewangan tetapi diletakkan di kementerian lain.

“Dalam hal ini juga, pemimpin DAP pula diangkat di Kementerian Kewangan. Ini bermakna Anwar lebih pentingkan kroni dalam PH, sementara kepercayaan kepada UMNO dikurangkan. Perkara ini juga dilihat oleh pemerhati lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pengumuman kelmarin, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II, Lim Hui Ying dilantik Timbalan Menteri Kewangan manakala Datuk Seri Ahmad Maslan dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan Anwar membesarkan Kabinetnya turut dilihat bertujuan mengekalkan kedudukan dengan sokongan daripada lantikan berkenaan.

“Saya tengok apa yang digembar-gemburkan untuk kecilkan Kabinet ternyata gagal dilaksanakan. Kabinet semakin besar dalam keadaan kita berhadapan dengan kemelut kewangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rombakan Kabinet kelmarin bukanlah bersandarkan kecekapan seseorang individu, sebaliknya berdasarkan kepada keupayaan individu berkenaan untuk menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, rombakan besar-besaran itu juga terpaksa dibuat berikutan terlalu banyak kegagalan menteri sebelum ini.

“Perdana Menteri terpaksa melayani tuntutan parti-parti yang membentuk kerajaan Perpaduan sebab kedudukan beliau bergantung kepada sokongan parti-parti yang membentuk kerajaan Perpaduan,” katanya.

Katanya, rombakan itu juga merupakan tambahan kepada siri-siri pelanggaran janji pilihan raya oleh Pakatan Harapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN