Robot ganti pekebun toreh getah

Robot ganti pekebun toreh getah

Robot yang boleh menoreh getah antara teknologi yang disaran dilaksanakan dalam industri getah negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Penggunaan teknologi robotik dan tenaga kerja generasi kedua berpendidikan daripada keluarga pekebun kecil penting bagi menjamin kemampanan industri getah di Malaysia pada masa akan datang.

Menurut penganalisis ekonomi, Dr. Zulkufli Zakaria, penggunaan teknologi dunia luar di dalam industri getah asli dan getah sintetik negara adalah penting bagi menampung keperluan pasaran getah dunia.

Zulkufli Zakaria

Beliau berkata, penggunaan robot penting bagi menggantikan manusia namun pelbagai sudut perlu diberi perhatian supaya ia tidak menjadi pembaziran.

“Misalnya dalam penggunaan dron, hanya beberapa tempat di Selangor sudah ada dan digunakan untuk pertanian tetapi itu pun tidak ramai tahu cara menggunakan dron pertanian.

“Selain itu, ketiadaan lesen dron sehingga pekebun terpaksa menyembur racun dari pagi sampai petang menyebabkan kerugian duit semburan racun dan ditambah tidak ada hasil. Jadi, penggunaan teknologi robotik ini penting,” katanya pada Seminar Hala Tuju Pekebun Kecil Getah Negara 2023 di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata, tugas RISDA bukan untuk menerbangkan dron tetapi pekebun kecil dan generasi kedua atau ketiga yang akan menguruskannya.

“Ia lebih mudah daripada membawa kereta kerana teknologi robotik tidak mempunyai brek tetapi semua berada di tangan robot,” katanya.

Katanya, RISDA hanya boleh mempromosikan dan memaklumkan kepada pekebun kecil kepentingan penggunaan teknologi robotik dalam industri getah.

Selain itu, katanya, robotik torehan sudah wujud untuk mengutip lateks bagi memudahkan pekebun kecil apabila robot boleh mengimbas melalui penggunaan laser dan mengenal pasti pokok yang boleh atau tidak boleh ditoreh.

Mengulas lanjut beliau berkata, RISDA boleh memainkan peranan dalam menggunapakai khidmat generasi muda ketika ini untuk mengusahakan dan mengembangkan industri getah.

“Jumlah pekebun kecil ketika ini sekitar satu juta keluarga dan kita boleh ambil 13 peratus atau 270,000 daripada bilangan itu yang merupakan generasi kedua berpendidikan untuk digunakan di 1.2 juta hektar tanah di bawah RISDA.

“Pegawai-pegawai RISDA yang tekun dan berdedikasi pun boleh membantu, menasihati dan menyampaikan maklumat kepada pekebun kecil ini,” katanya.

Walaubagaimanapun, katanya, tanah yang dipantau oleh RISDA tidak dikuasai sepenuhnya kerana ia milik pekebun kecil dan mereka memerlukan antara satu sama lain dari segi dana dan bantuan.

Selain itu, beliau menegaskan, industri getah memerlukan kebijaksanaan dan pengalaman dalam memastikan perkembangan industri getah meskipun negara menuju ke arah rakyat yang semakin tua.

“Kita perlukan kebijaksanaan dan pengalaman. Ini yang penting dan kemudiannya boleh ditukar atau diganti dengan robot seperti Jepun dan Korea. Umur 80 tahun tetapi masih bekerja kerana penglibatan robot,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkufli berkata, RISDA berdepan ancaman seperti proses torehan cara lama, kurang tenaga kerja mahir, persepsi pekebun kecil dalam pemodenisasi dan generasi kedua pekebun kecil yang tidak menganggap getah sebagai sumber utama pendapatan.

Namun, beliau berkata, ancaman tersebut boleh diatasi dengan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan teknologi robotik yang memerlukan beberapa modifikasi untuk setiap kegunaan yang berbeza ketika proses pengendalian pokok getah.

Tambahnya, RISDA perlu memulakan langkah untuk mencari pelabur asing dan usaha sama perlu dilakukan bagi mengatasi ancaman untuk menjadikan RISDA sebagai pusat keuntungan dikongsi bersama pekebun kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya