Ranhill SAJ terima MBOR, operator air pertama miliki HACCP di semua LRA - Utusan Malaysia

Ranhill SAJ terima MBOR, operator air pertama miliki HACCP di semua LRA

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (dua dari kanan) dan Hamdan Mohamed menyaksikan majlis penyampaian sijil MBOR daripada Edwin Yeoh (kiri) kepada Muhamad Faizal Aliar di Hotel Renaissance, Permas Jaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat pengendali air, Ranhill SAJ kini memiliki persijilan ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP) bagi kesemua 44 loji rawatan air (LRA) kendaliannya.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Ranhill SAJ mencipta sejarah apabila dinobatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai operator air pertama yang memiliki HACCP bagi kesemua LRA di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pensijilan HACCP itu membuktikan proses rawatan air di negeri ini diiktiraf dalam mengawal dan meminimumkan risiko pencemaran air terawat.

“Sijil HACCP ini bukan mudah untuk dimiliki, sebaliknya perlu melalui penilaian kompleks berpandukan kehendak dan pematuhan ‘Good Manufacturing Practices (GMP)’ Piawaian MS 1480, Standard Kualiti Air Minuman Kebangsaan dan Akta Makanan 1983 oleh Kementerian Kesihatan.

“Pensijilan ini juga dapat menambah keyakinan kepada pengguna di negeri ini bahawa air yang dibekalkan adalah benar-benar selamat dan berkualiti tinggi.

“Pencapaian ini mampu menjadi elemen penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor kerana kualiti air meyakinkan serta selamat adalah aspek penting dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, penternakan dan pembuatan. Ia sekali gus menambah keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini,” katanya selepas menyaksikan majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR oleh wakilnya, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Muhamad Faizal Aliar di Hotel Renaissance, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ranhill Utilities Berhad, Tan Sri Hamdan Mohamed.

Sementara itu, Muhamad Faizal berkata, pengiktirafan itu membuktikan pihaknya komited dalam aspek kesihatan dan keselamatan, khususnya melibatkan bekalan air kepada pengguna.

“Ini adalah anugerah serta pengiktirafan berprestij bagi kami. Pensijilan HACCP ini telah diterima sejak Disember tahun lalu, manakala baki dua daripada 46 LRA dalam proses akhir untuk mendapat pensijilan HACCP.

“Selepas siap kelak, ia merekodkan kesemua 46 LRA di Johor memiliki pensijilan HACCP,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.