PETALING JAYA: Sebelah stoking yang ditemukan polis dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, disahkan bukan miliknya.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil analisis di makmal mendapati keputusannya negatif dan bukan milik Zayn Rayyan.
Menurut beliau, setakat ini tiada perkembangan baharu namun polis masih meneruskan siasatan untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Kita sudah merakam keterangan seramai 172 orang termasuk ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk di apartmen terbabit.
“Stoking yang ditemukan itu juga selepas analisis dijalankan bukanlah milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menemui sehelai stoking dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.
Stoking berkenaan diperoleh selepas pihak polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi tersebut.
Proses itu dilakukan bagi melihat sama ada wujud bukti baharu, namun setakat ini polis tidak menemui apa-apa pertunjuk.
Zayn Rayyan yang dilapor hilang pada 5 Disember lalu ditemui meninggal dunia pada 6 Disember dengan mayatnya ditemui di kawasan saliran air berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman. – UTUSAN