Polis kesan pemandu e-hailing pukul penumpang warga China - Utusan Malaysia

Polis kesan pemandu e-hailing pukul penumpang warga China

WAN MOHD. ZAHARI WAN BUSU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis daerah ini akan menghubungi syarikat e-hailing tempat suspek kejadian pukul seorang penuntut warga China di sini, Sabtu lalu bekerja bagi mengesan pemandu terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia, Serdang berusia 22 tahun yang datang ke bandaraya ini bersama seorang rakannya untuk melancong.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa dicederakan menggunakan kerusi lipat besi di pekarangan sebuah hotel di Jalan Sekilau, Sabtu lalu.

“Pada hari kejadian, mangsa bersama rakannya menaiki kenderaan e-hailing, sebaik sahaja tiba di sebuah hotel, suspek dikatakan mengamuk dan mengeluarkan kerusi besi lipat terus menyerang mangsa bertubi-tubi.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera pada bahagian badan seperti patah dua jari tangan kanan, luka dan lebam,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, berdasarkan keterangan, mangsa memaklumkan tidak mengetahui punca dipukul suspek.

Jelasnya, pihaknya sudah pun mendapat keterangan saksi dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Pegawai penyiasat sudah ke lokasi kejadian bersama mangsa. Terdapat rakaman CCTV di hotel itu dan polis juga memanggil pekerja hotel bertugas dan menyaksikan kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan, kecederaan dialami mangsa disebabkan dipukul objek keras ketika kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa seorang penuntut warga China retak tulang pada dua jari tangan kanan dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk muka dipercayai dilakukan seorang pemandu Grab, Sabtu lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Miss Yuan, 22, dan datang untuk melancong ke bandaraya ini, dipercayai dipukul berkali-kali menggunakan kerusi besi lipat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya