Persempadanan Parlimen, perlu ada kajian sebelum laksana-UMNO Kelantan

Persempadanan Parlimen, perlu ada kajian sebelum laksana-UMNO Kelantan

NOOR HARIRI MOHAMED NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Kelantan melihat satu kajian perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum persempadanan semula kawasan parlimen di negara ini dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri Noor Hariri Mohamed Nor berkata, pihaknya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melihat daripada pelbagai sudut sebelum membuat sebarang keputusan atau cadangan.

“Hal ini supaya sebarang tindakan tidak akan mencetuskan api perkauman daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Kesannya adalah pada generasi seterusnya apabila mereka tiada lagi kawan daripada bangsa lain. Secara automatik hubungan akan menjadi semakin jauh,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu memberitahu, pada masa sama pihaknya berpandangan kesan polarisasi kaum perlu dilihat supaya keharmonian berbilang bangsa di Malaysia ini tidak dipecahkan.

“Kita tidak mahu ada beza nanti bandar Melayu, bandar Cina, bandar India di negara kita.

“Yang kita mahu, keseragaman komposisi kaum di sesuatu tempat supaya mengurangkan jurang hubungan dan ekonomi sesama kaum,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas menyifatkan cada­ngan persempadanan semula kawasan Parlimen khususnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 hanya akan menguntungkan DAP menerusi pertambahan kerusi parti itu.

Justeru, Pas membantah se­keras-kerasnya sebarang cada­ngan persempadanan semula itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kebanyakan kerusi yang pengundi melebihi 100,000 adalah di kawasan bandar yang majoriti pengundi bukan Melayu sekali gus akan memberi kelebihan kepada DAP.

Malah, katanya, DAP berkemungkinan mampu menambah kerusi Parlimen daripada 40 ketika ini sehingga 80 kerusi sekali gus terus menguasai komposisi ahli Parlimen di Dewan Rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN