PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melengkapkan siasatan kes klip video perbualan lucah melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof sebelum keputusan dibuat berhubung kes tersebut.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lalu.
Kata beliau, beberapa tindakan perlu diambil sebelum kertas siasatan berkenaan dirujuk semula setelah tindakan diambil oleh PDRM.
“Tindakan itu termasuk laporan-laporan teknikal dari agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan gangguan seksual melibatkan Mohammad Agus, beliau berkata, siasatan adalah sama iaitu untuk mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak.
“Walaupun terdapat kertas siasatan lain dibuka berhubung kejadian didakwa berlaku di Bintulu yang dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 377D Kanun Keseksaan
“Justeru itu, PDRM akan memanggil sesiapa saja yang boleh membantu siasatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, keputusan sama ada tangkapan akan dibuat terhadap Mohammad Agus atau tidak, ia bergantung kepada siasatan.
“Pada peringkat ini pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti material kepada keterangan dan dakwaan yang dibuat,” katanya.- UTUSAN