RANTAU PANJANG: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas sampan yang dinaikinya terbalik semasa mahu melihat pukat dalam kejadian di Kampung Bakat di sini hari ini.
Kejadian pukul 2 petang itu berlaku ketika mangsa Mohd. Kamruddin Mohamed Yahya, 44, mahu melihat pukat yang ditahan tidak jauh dari kawasan rumah yang ditenggelami banjir.
Isteri mangsa Norzubaila berkata, sebelum kejadian suaminya beria-ia mengajaknya pulang ke rumah untuk melihat dan mengangkat pukat yang ditahan.
Menurutnya, pada pukul 12 tengahari dia bersama suami dan tiga anaknya pulang ke rumah buat buat sementara waktu.
“Kami sekeluarga tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh selepas rumah ditenggelami banjir. Jadi kami pulang ke rumah menaiki perahu.
“Sebaik saya dan anak-anak naik ke atas rumah arwah terus mengayuh perahu ke belakang rumah untuk melihat pukat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Norzubaila memberitahu, dia dikejutkan dengan laungan jiran yang memaklumkan ternampak perahu dinaiki suaminya terbalik.
Katanya, terkejut dengan perkara itu dia terus ke belakang rumah sambil menaikan perahu milik jiran.
“Sebaik sahaja sampai dilokasi, saya mendapati suami berada dalam keadaan terapung dan mendapati dia sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.14 petang berhubung kejadian tersebut.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang bergegas ke lokasi untuk kerja mencari dan menyelamat.
“Mayat kemudian diserahkan pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN