Peniaga dakwa rugi RM90 juta ekoran penutupan Plaza Pontian - Utusan Malaysia

Peniaga dakwa rugi RM90 juta ekoran penutupan Plaza Pontian

SEBAHAGIAN pemilik lot kedai di Plaza Pontian yang ditutup sejak lima tahun lalu menuntut keadilan supaya tidak terus mengalami kerugian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penutupan Plaza Pontian sejak lima tahun menyebabkan 71 peniaga mengalami kerugian kira-kira  RM90 juta berdasarkan pendapatan purata kira-kira RM50,000 sebulan.

Pengerusi Gabungan Pemilik Strata Plaza Pontian, Ching Jiun Yen berkata, penutupan operasi Plaza Pontian pada 18 November 2019 telah menyebabkan pemilik lot kedai turut mengalami kerugian kira-kira RM17 juta bagi tempoh yang sama.

Dakwanya, penutupan disebabkan pemaju bangunan Rampai Maluri Sdn. Bhd., gagal menyelesaikan bayaran tertunggak kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM500,000 dan Ranhill SAJ sebanyak RM150,000.

“Peniaga atau penyewa lot-lot kedai telah menjelaskan bayaran mereka kepada Rampai Maluri tetapi syarikat tersebut gagal melunaskan hutang mereka kepada TNB dan  Ranhill SAJ menyebabkan bekalan elektrik dan air dipotong. Pada 18 November 2019 adalah detik hitam bagi Plaza Pontian, satu-satunya pusat beli-belah di bandar Pontian yang dibuka pada 2007 terpaksa ditutup gara-gara kecuaian pihak ketiga,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Jiun Yen berkata, berdasarkan pecahan strata, 38 unit lot kedai merupakan milik individu, 26 lot milik Amanah Raya Berhad, manakala tujuh lot milik Rampai Maluri Sdn. Berhad.

“Masalah ini telah berapa kali diajukan kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) selaku pemilik tanah menerusi sistem penswastaan, tetapi jawapan yang diberikan kes ini telah dibawa ke Mahkamah.

“Sampai bila kami pemilik lot kedai yang membelinya  dengan harga RM400,000 terus kerugian kerana tidak mendapat bayaran sewa yang dianggarkan RM3,500 sebulan,” katanya sambil memaklumkan pembeli lot juga terpaksa membayar bulanan pinjaman kepada pihak bank, sedangkan kedai masih tidak dapat dibuka.

Dakwanya, bangunan Plaza Pontian juga telah mengalami kerosakan teruk selepas penutupan,  banyak peralatan termasuk eskalator telah dicuri selain kabel dan wayar elektrik  juga hilang.

Justeru, pihaknya berharap akan mendapat penjelasan  terperinci daripada pihak MPPn kerana bangunan tersebut telah dipasang penghadang oleh pihak berkuasa tempatan itu pada 2 Ogos tahun lalu bagi mengelakkan pencerobohan.

Sementara itu, Muji Sulaiman, 63, memberitahu telah membeli lot kedai di Plaza Pontian pada harga RM400,000 dan menyewakan kepada peniaga sebanyak RM3,500 sebulan.

“Saya berharap ada tindakan pihak luar untuk melabur bagi membangunkan semula Plaza Pontian setelah kes mahkamah selesai, tetapi tak tahu sampai bila kami terus menanggung kerugian,” kata pesara kerajaan yang kini menetap di  Cyberjaya.

Aida Mansor, 52, pula membeli lot kedai tersebut pada harga RM230,000 dan menyewakan dengan bayaran RM3,700 sebulan menyebabkan kehilangan pendapatan RM222.000.

“Masalah ini harus dilihat oleh semua pihak bagi membantu pembeli yang semakin tertekan kerana pelaburan yang dibuat tidak balik modal, malah mengalami kerugian yang besar,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.