KUALA LUMPUR: Pendekatan mendidik untuk tempoh lima tahun akan menjadi kaedah alternatif kepada Kementerian Kesihatan dalam merealisasikan hasrat mewujudkan Generasi Penamat Rokok (GEG) bermula dengan mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan lebih ‘lembut’ itu adalah bagi memastikan masalah merokok dalam kalangan remaja dan generasi yang lahir pada tarikh yang ditetapkan itu dapat dibendung dengan berkesan.
“Sungguhpun peruntukan GEG digugurkan (daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023), Kementerian Kesihatan akan melancarkan pelan advokasi lima tahun yang menyasarkan saringan serta intervensi bagi golongan ini dan memastikan mereka terus tidak merokok.
“Program intervensi dan advokasi ini akan diteruskan di peringkat universiti serta di peringkat awam termasuk tempat kerja,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Negara semalam.
Dr. Dzulkefly berkata, pelan advokasi itu juga dibuat berdasarkan kajian pada 2020 yang menyatakan mereka yang mula merokok sebelum usia 20 tahun lebih cenderung menjadi perokok tegar.
Sehubungan itu, kata beliau, adalah penting memastikan kanak-kanak dan remaja kekal tidak merokok sehingga mencapai umur 21 tahun kerana kemungkinan untuk mereka mula merokok selepas umur tersebut adalah sangat rendah.
“Kementerian juga akan memastikan penguatkuasaan berkaitan kebolehdapatan produk merokok dikawal ketat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.
“Pemantauan dan penilaian bagi RUU ini tetap dijalankan secara berterusan dan diperkukuh. Walaupun peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam RUU ini, ia tidak bermaksud kementerian memandang ringan masalah merokok di negara kita, sebaliknya terus mempergiat aktiviti-aktiviti advokasi pencegahan merokok.
“Insya-Allah, pada waktu yang lebih wajar dan sesuai, kita akan kembali menziarahi isu ini,” katanya. – UTUSAN










