Pembatalan Seksyen 498 tidak sesuai dalam konteks negara ini

Pembatalan Seksyen 498 tidak sesuai dalam konteks negara ini – Mufti Johor

YAHYA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemansuhan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak sesuai dalam konteks Malaysia kerana kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada amalan lazim umat Islam, orang Melayu dan orang Asia.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, dalam amalan di negara ini, lelaki adalah pe­mimpin dan wanita ini adalah golongan yang perlu dilindungi atas sifatnya yang lemah.

“Oleh kerana itu, di Malaysia wujud Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sebagai manifestasi bahawa kaum hawa ini perlu diberikan perlindungan khusus,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Sebelum ini, akhbar ini ada melaporkan tindakan mahkamah membatalkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan adalah satu kekhi­lafan undang-undang dan memberi implikasi serius, me­nyalahi agama dan adat tempatan.

Pemansuhan oleh Mahkamah Persekutuan itu dibuat atas alasan bahawa ia membangkitkan diskriminasi gender kerana tiada peruntukan bagi wanita menggoda suami orang dan dikatakan bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Yahya berkata, Doktrin Struktur Asas menegakkan asas-asas tertentu seperti hak persamaan dan kebebasan asasi tidak boleh dikuatkuasakan dengan melulu tanpa melihat nilai budaya setempat yang menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia.

“Islam meletakkan bahawa dalam setiap obligasi lelaki, ada hak wanita seperti hak isteri, hak anak perempuan, hak adik perempuan dan hak ibu.

“Maknanya, diskriminasi ini bukan untuk merendahkan wanita tetapi sebagai manifestasi bahawa Islam melindungi wanita hinggalah wujud terma harta sepencarian bagi memastikan hak wanita sentiasa ter­bela dan terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, kebaikan yang dapat dilihat adalah tiadanya diskriminasi terhadap jantina di mana kebanyakan kes dikaitkan dengan suami menggoda isteri orang.

Namun, katanya, dalam konteks masyarakat pada hari ini, permasalahan itu melibatkan kedua-duanya di mana ada juga wanita yang menggoda suami orang.

“Dari segi keburukan, mungkin ada yang memandang bahawa maknanya lelaki lebih mudah mengambil kesempatan untuk menggoda, mengacau dan mengganggu orang lain.

“Tetapi kita kena faham, gangguan seksual masih lagi ada peruntukannya dalam Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Syamsul berkata, undang-undang manusia sudah tentu ada kelemahannya dan perlu dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kesedaran adalah perkara paling penting yang perlu ditekankan kepada masyarakat masa kini perkara seperti itu dapat ditangani de­ngan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN