SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa melaksanakan tuntutan kepada kerajaan Persekutuan bagi penyelesaian bayaran premium bagi tiga lot tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin yang berjumlah RM1.272 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, terdapat tiga lot tanah yang terlibat dalam tuntutan tersebut iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L dengan anggaran premium sebanyak RM2.162 bilion.
Bagaimanapun menurut beliau, Kementerian Pertahanan telah berjaya membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa terdapat warta bagi Military Firing Ground J pada tahun 1941 dan memohon supaya kawasan tersebut kekal sebagai tanah yang diwartakan sahaja.
Sehubungan itu jelas beliau, kawasan Military Firing Ground J tersebut dikeluarkan dan menjadikan nilai bayaran premium tanah yang perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri adalah berjumlah RM1.272 bilion sahaja.
“Isu berhubung premium tanah di Kem Gemas ini telah bermula sejak tahun 2013. Kerajaan Negeri komited dan sentiasa melaksanakan tuntutan kepada kerajaan Persekutuan bagi penyelesaian bayaran premium tanah berkenaan.
“Pelbagai usaha perundingan melibatkan pelbagai peringkat pegawai tertinggi kerajaan sehingga ke peringkat Menteri telah dilakukan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Perkara ini juga telah dibangkitkan dalam pelbagai mesyuarat utama persekutuan termasuk semasa Majlis Kewangan Negara,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) mengenai jumlah hutang kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri khususnya berkaitan Kem Gemas,
Aminuddin dalam pada itu menambah, kerajaan negeri ada menawarkan untuk pembayaran sepuluh kali iaitu sebanyak RM100 juta setahun namun belum mendapat apa-apa keputusan daripada kerajaan Persekutuan setakat ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar memaklumkan, proses pelantikan jawatankuasa masjid diurussetiakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berdasarkan garis panduan Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Sembilan Bagi Sesi 2023 – 2024 yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
“Proses pemilihan tersebut adalah melalui kaedah pencalonan daripada ahli kariah masing-masing tetapi keputusan masih tertakluk kepada MAINS dan JHEAINS,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Kamarol Ridzuan Mohd. Zain (PN-Paroi) yang ingin mengetahui sama ada pelantikan jawatankuasa masjid diserahkan kembali kepada ahli kariah melalui proses mesyuarat agung seperti yang telah diamalkan sebelum ini.-UTUSAN.