PETALING JAYA: Pelakon sensasi, Nadia Brian tidak mahu memanjangkan isu kelewatan sebuah produksi membuat bayaran sebalinya memberi lebih masa sebelum tindakan susulan diambil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nadia, 32, berkata, kelewatan tersebut mungkin berpunca dari tempoh cuti panjang ketika ini sempena sambutan Hari Natal dan tahun baru.
“Saya tak mahu bising-bising dan beranggapan mereka mungkin sedang bercuti. Saya beri masa lagi, jika masih lewat dan tidak menepati tempoh bayaran yang ditetapkan baru saya ambil tindakan.
“Sebenarnya itu sekadar membalas pertanyaan peminat. Biasalah, luahan hati. Kita kalau tunggu gaji memang rasa tak sabar sahaja. Bila lewat sedikit, mulalah rasa ralat.
“Tetapi saya tidak mahu memanjangkan isu ini apatah lagi mendedahkan produksi mana. Saya beri masa lagi, mana tahu mereka sedang berhadapan isu tertentu kan?” jelasnya.
Pelakon Aku Yang Kau Gelar Isteri itu sebelum ini memuat naik hantaran di Instastory meluahkan rasa terkilan selepas sebuah produksi lewat membuat bayaran beberapa ketika selepas kerjasama selesai.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang beranggapan Nadia telah ditipu produksi tersebut dan rata-rata pihak meminta agar tindakan susulan diambil untuk produksi tersebut melunaskan tunggakan.
Dalam pada itu, Nadia berkata, ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi bayaran tertunggak sepanjang lapan tahun dalam industri seni.
“Saya tidak pernah berurusan secara langsung dengan produksi. Semua saya serahkan kepada pengurusan saya. Ada juga saya minta kemas kini tentang bayaran, tetapi dimaklumkan belum lunas.
“Kita juga perlu faham, komitmen setiap individu itu berbeza. Saya ada tanggungjawba untuk jaga ibu dan nenek saya. Jadi kalau boleh tidak mahu ada isu bayaran tertunggak itu semua.
“Diharapkan agar isu bayaran ini diselesaikan secepat mungkin. Tak mahu panjang-panjangkan isu ini,” kongsinya.- UTUSAN










