JEMPOL: Seorang wanita warga emas yang juga ahli perniagaan serta menantunya mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila kedua-duanya terpedaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, wanita berusia lingkungan awal 70-an itu telah terpedaya dalam urusan pelaburan yang tidak wujud melalui menantunya pada 28 November lalu.
“Mangsa telah dijanjikan akan menerima 50 peratus keuntungan daripada jumlah pelaburan yang dikatakan dari negara China dalam tempoh 48 jam.
“Pada 9 Disember lalu, mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu selepas dimaklumkan oleh menantunya bahawa syarikat tersebut mempunyai masalah dan telah disiasat oleh China Securities Regulatory Commission,” katanya kepada pemberita di sini
Difahamkan, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Bahau di sini tengah hari semalam kerana mengalami kerugian sebanyak RM55,863 manakala menantunya pula mengalami kerugian RM880,000 dan membuat laporan di Petaling Jaya, Selangor.
Jelas Chang Hook lagi, mangsa telah pun memasukkan kesemua wang berkenaan kepada pemilik Akaun Ftse Russel Advance Ventures dan menunggu pulangan dalam tempoh 48 jam namun tiada.
Sehubungan itu, menurut beliau, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak mudah untuk mempercayai pelaburan yang menawarkan pulangan keuntungan dalam masa yang singkat bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.