KOTA TINGGI: Mayat lelaki warga Singapura yang dikhuatiri lemas di pantai berhampiran sebuah hotel terkemuka di Desaru, dekat sini dijumpai awal pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 49 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 5.30 pagi oleh orang awam di pantai berkenaan.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berseluar pendek dan tidak berbaju.
“Jarak mangsa dijumpai dari lokasi lemas lebih kurang lima kilometer. Mayat mangsa juga telah disahkan oleh isteri mangsa yang berada di lokasi kejadian.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) seterusnya bertindak ke lokasi mangsa ditemukan dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindak selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dan operasi ditamatkan pada pukul 8.17 pagi ini.
Semalam media melaporkan mangsa bersama-sama anaknya yang berusia 16 dipukul ombak ketika sedang beriadah di gigi air laut.
Walau bagaimanapun, anaknya berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke HKT untuk rawatan.
Kawasan pantai berkenaan telah dipasang tanda amaran bendera merah sebagai larangan melakukan aktiviti di laut. – UTUSAN