Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 bermula esok, seramai 3,146 graduan diraikan - Utusan Malaysia

Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 bermula esok, seramai 3,146 graduan diraikan

MAJLIS Konvokesyen USIM Ke-21 akan berlangsung bermula esok sehingga 15 Disember ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 3,146 orang graduan dari 89 program pengajian akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali ke-21 yang dijadualkan berlangsung bermula esok sehingga 15 Disember ini.

Bertemakan Graduan USIM Pemangkin Masyarakat Madani, bakal graduan ini akan diraikan dengan penuh adat istiadat dan majlis akan disempurnakan oleh Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Baginda akan berangkat mencemar duli bagi mengisytiharkan majlis konvokesyen tersebut dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, daripada 3,146 graduan tersebut, seramai 110 orang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD), 108 merupakan graduan Sarjana, 340 orang merupakan graduan Diploma Siswazah serta 2,588 lagi merupakan graduan program Sarjana Muda. 

“Majlis konvokesyen kali ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila USIM turut meraikan graduan sulung bagi lima program pengajian baharu. 

“Mereka adalah graduan Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Perdagangan (Kepujian), Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pada majlis yang sama Tuanku Canselor dijadual turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita serta anugerah-anugerah kecemerlangan akademik.

“Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) akan dianugerahkan kepada pengasas syarikat Abdul Latif Jameel Company iaitu sebuah syarikat pengedar kenderaan Arab Saudi iaitu Yousef Abdul Latif Jameel.

“Turut menerima penganugerahan ialah tiga tokoh akademik USIM, iaitu Prof, Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan Prof. Dr. Abdul Samat Musa dari Fakulti Syariah dan Undang-undang bagi penganugerahan yang membawa gelaran Prof. Emeritus. 

“Gelaran Prof. Emerita pula dikurniakan kepada Prof. Datin Dr. Che Illina Che Isahak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya. 

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari yang melibatkan tujuh sidang tersebut turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Aufa Abdullah, graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi pengkhususan dalam bidang Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) serta Muhammad Isyraq Husaini Muliadi, graduan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, pengkhususan dalam bidang Fiqh dan Fatwa.

Bagi Anugerah Canselor kategori siswazah, penerimanya ialah Mohd. Harifadilah Rosidi graduan program Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman dan Nur Adilah Zainal, bagi program Sarjana Muda dalam bidang Perubatan dan Surgeri.

Anugerah Lembaga Pengarah Universiti pula dianugerahkan kepada Muhammad Badrul Amin Mohd Tarmizi iaitu graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor pula kepada graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah iaitu Nadrah Ahmad Marzuki.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya