SEREMBAN: Sebanyak 23 geran penyelidikan ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) tahun ini bertujuan memperkasakan aktiviti berasaskan penyelidikan seterusnya mengangkat martabat tadbir urus hal ehwal agama Islam di negeri ini.
Setiausaha MAINS, Zainal Said berkata, aktiviti penyelidikan itu melibatkan para penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta melalui kaedah Request For Proposal (RFP).
Beliau berkata, MAINS yakin kaedah terbaik bagi menambah baik perkhidmatan adalah melalui kajian berkualiti dan berimpak tinggi yang menghasilkan dapatan bagi membantu MAINS.
“Penyelidikan merupakan aktiviti yang menjadi tunjang kemajuan sesebuah tamadun.
“Sejarah telah mencatatkan kemuncak kegemilangan tamadun Islam di zaman khalifah Abbasiyah adalah disebabkan faktor giatnya aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh para cendekiawan pada zaman tersebut,” katanya dalam ucaptama sempena Simposium Penyelidikan MAINS 2023 di sini hari ini.
Majlis perasmian simposium itu telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badarudin.
Zainal memberitahu, penganjuran simposium itu adalah usaha MAINS bagi menzahirkan komitmen dalam menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat merangkumi perkhidmatan pengurusan zakat, pengurusan wakaf, pengurusan harta orang Islam dan perkhidmatan kaunseling yang efisyen melalui aktiviti penyelidikan.
Tambahnya, MAINS turut menjalankan lima kajian secara dalaman antaranya berkaitan perkhidmatan wakaf emas di MAINS serta kajian nisab zakat harta.
Jelasnya, aktiviti penyelidikan itu yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak telah menghasilkan impak dalam pengurusan umat Islam di negeri ini.
Sementara itu, Faudzinaim mengucapkan syabas kepada enam pembentang kertas kerja utama pada simposium tersebut dan berharap hasil kajian yang telah dijalankan dapat menyumbang kepada transformasi kecemerlangan perkhidmatan MAINS dan institusi hal ehwal Islam di negeri ini.
“Adalah menjadi harapan saya agar penganjuran simposium pada hari ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada seluruh peserta dan pembentang.
“MAINS melalui Jawatankuasa Penyelidikan yang ditubuhkannya akan menilai kertas kerja yang dibentangkan dan akan mempertimbangkan untuk dicadangkan pemberian geran kepada tajuk penyelidikan yang memberi impak tinggi kepada MAINS,” katanya.-UTUSAN.