Karnival Malaysia Madani diperluas

Karnival Malaysia Madani diperluas

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan pengunjung kanak-kanak yang mencuba permainan susun suai gambar di gerai Angkatan Pertahanan Awam sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. –MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memperluaskan Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani ke setiap negeri berikutan sambutan luar biasa yang diterima dalam program pertama yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.

“Sambutan sangat mengga­lakkan dan mendapat kerjasama daripada jabatan kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Khazanah Nasional, sangat memuaskan.

“Kalau nampak perjalanan begini, kita mungkin menimbangkan sama ada kita boleh pindahkan kegiatan pameran seperti ini supaya dapat memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri,” katanya selepas melawat tapak karnival itu semalam.

Program tiga hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk karnival kerjaya yang mendapat kerjasama daripada 63 agensi kerajaan dan swasta termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengunjung berpeluang me­lawat 36 reruai yang menyediakan lebih 102 kaunter perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus.

Anwar juga berharap golongan muda dapat mengambil manfaat daripada program itu dan perkhidmatan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

“Saya minta anak muda untuk meneliti (perkhidmatan) setiap kementerian yang ada di sini dan melihat langkah diambil serta memanfaatkan kemudahan yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan kekesalan Malaysia terhadap sikap Amerika Syarikat (AS) yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan terutama melibatkan kezaliman terhadap kanak-kanak dan wanita di Palestin.

Katanya, satu dunia menem­pelak serta membantah tindakan negara kuasa dunia itu yang dianggap membunuh dan melakukan keganasan harian terhadap golongan berkenaan.

“Saya kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaaan. Sekarang, kalau kita hendak menilai AS dari segi demokrasi, hak asasi kemanusiaan, nampaknya kita tangguh dulu,” katanya.

Hari ini merupakan akhir terakhir Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya