KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak menjadikan pangkat untuk bermegah-megah kerana setiap perbuatan akan menerima balasan selepas kematian.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebesar mana pun pangkat disandang, tiada apa yang kekal selamanya.
“Kita tidak tahu berapa lama akan hidup dan bila malaikat maut menjemput dan apabila kita pergi (meninggal dunia) yang tinggal hanyalah amalan.
“Ingatlah pesanan yang sering diberikan, pahala, dosa dan hidup dan mati dunia dan akhirat. Setiap yang kita buat di dunia akan dibalas di alam kubur dan di padang mahsyar.
“Kalau baik amalannya, luaslah kubur kita nanti dan dipermudahkan di padang mahsyar, jika sebaliknya, maka janganlah kita menyesal selepas kita meninggalkan dunia ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, Komisioner Polis Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Hassan Wan Ahmad menerima surat pelantikan sebagai Pengarah JPJKK Bukit Aman bagi menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail yang bersara wajib pada 1 Januari ini.
Peringatan itu diberikan Ayob Khan susulan beberapa insiden salah laku melibatkan segelintir anggota dan pegawai polis seperti rasuah dan bersekongkol dengan penjenayah sehingga mencemarkan imej pasukan tersebut dan menjadi bualan masyarakat.
Beliau berkata, setiap pangkat itu datang dengan tanggungjawab tersendiri yang perlu dijalankan dengan amanah.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, dalang sindiket kini menjadi keutamaan polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di negara ini.
Katanya, jika sebelum ini polis menyasarkan rampasan dengan nilai berjuta ringgit, operasi kali ini dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) bagi memburu seluruh anggota sindiket, orang kanan serta dalang.
“Kita akan sasarkan ketua sindiket bagi memastikan isu pengedaran dan penyeludupan dadah dapat diatasi. Jika tidak, mungkin kita perlukan masa yang lama untuk selesaikan isu dadah,” katanya. – UTUSAN










