Jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan terus catat penurunan - Utusan Malaysia

Jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan terus catat penurunan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan berjaya dikurangkan sehingga seramai 923 orang setakat semalam berdasarkan sistem pengkalan data keluarga miskin (eKasih).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia merupakan jumlah penurunan yang baik selepas jumlah miskin tegar di negeri ini pada bulan Februari lalu adalah seramai 3,350 orang.

“Ia penurunan yang baik dan kita berharap sehingga hujung bulan ini dapat kita noktahkan miskin tegar di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi yang berkapasiti 250 MLD yang dijangka akan bermula pembinaan pada penghujung tahun hadapan.

“TAPS Linggi ini akan bertindak sebagai simpanan bekalan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Linggi jika berlaku pencemaran Sungai Linggi pada masa hadapan,” katanya lagi.

Selain perancangan jangka masa panjang itu, Aminuddin berkata, pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) akan memasang oil boom di muka sauk LRA Linggi sebagai langkah perlindungan kepada LRA Linggi sebagai tindakan jangka masa pendek.

Baru-baru ini media melaporkan pengesanan sisa minyak di Sungai Linggi yang menyebabkan penutupan operasi LRA Linggi. 

Penutupan operasi loji ini adalah susulan pengesanan bau sekuat 6 Ton yang menyebabkan air sungai tersebut tidak dapat diproses sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kepada 42,000 akaun di sekitar daerah Seremban dan Port Dickson.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN