Jangan provokasi 'status quo'- Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Jangan provokasi ‘status quo’- Pemuda UMNO

DR. AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda UMNO memberi amaran kepada DAP tidak memprovokasi ‘status quo’ Melayu yang dibina atas persefahaman antara kaum di negara ini dengan kenyataan-kenyataan tidak perlu seperti Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perdana Menteri bukan Melayu.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, kenyataan sedemikian hanya akan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, beliau percaya dalam  kalangan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak berasa selesa dengan kenyataan sedemikian.

“Ia umpama provokasi sengaja terhadap “status quo” persefahaman antara kaum yang dikecapi selama ini. Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang berkaitan impian bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai berhubung usul pilihan raya PBT Kuala Lumpur sebagai perintis.

PBT

Dr. Akmal berkata, cadangan untuk melaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan mewujudkan ketidakseimbangan di kawasan tersebut.

“Misalnya jika hendak dilakukan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur, demografi penduduk berdasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang, daripada jumlah itu hanya 45.9 peratus merupakan penduduk bumiputera. 

“Jika diadakan pilihanraya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya,” katanya.

Beliau berkata, selama enam dekad Malaysia ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan yang disokong dan disenangi oleh majoriti. 

“Kenyataan-kenyataan sebegini seolah ada mesej atau isyarat yang tersirat yang hendak disampaikan. Pimpinan DAP harus lebih sensitif dan menghormati kehormanian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat dan sesama kaum.

“Pemuda UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini. Berada di dalam Kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP tetapi ia dibina dengan kehadiran UMNO.

“Segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu, kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN