Hanya kesan tapak kaki harimau ditemukan di Kampung Serengkam - Utusan Malaysia

Hanya kesan tapak kaki harimau ditemukan di Kampung Serengkam

YAHYA Jantan (empat kanan) bersama unit Perhilitan menjejak kelibat harimau di Kampung Serengkam di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Gerakan mencari harimau belang yang dilaporkan sesat di Kampung Serengkam di sini hanya menemukan tapak kaki haiwan itu.

Ketua Kampung Serengkam, Yahya Jantan berkata, gerakan mencari haiwan liar itu giat dilakukan pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) malam tadi dan berakhir pukul 2 petang ini.

Menurutnya, pasukan Perhilitan yang terdiri daripada enam renjer hanya menemukan tapak kaki harimau yang dipercayai dalam lingkungan usia tiga ke empat tahun dalam kawasan perkampungan terbabit.

Katanya, operasi itu ditamatkan petang ini setelah berpuas hati tiada lagi ancaman haiwan liar berkenaan kepada keselamatan penduduk yang keluar bekerja di kebun getah, sawit dan nelayan sungai.

“Kelibat sang belang itu ditemukan seorang nelayan di kawasan Batu Sawar, Kampung Serengkam ketika sedang minum air kelmarin

“Harimau itu tidak diketahui jantinanya dipercayai tersesat ke kawasan kediaman penduduk dan kewujudannya dilaporkan kepada pentadbiran kampung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yahya berkata, kelibat harimau di kampung itu menjadi tular di media sosial apabila ada dalam kalangan penduduk memuat naik penemuan spesies itu sedang minum di Batu Sawar Kampung Serengkam.

“Harimau belang ini dipercayai sudah kembali ke habitat asal di Bukit Gayong bersempadan dengan Kampung Belimbing, Pekan.

“Penduduk boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa bagaimanapun harus berwaspada dari sebarang kemungkinan.

“Dalam pada itu, diharap Perhilitan dapat memasang perangkap di kawasan laluan harimau berkenaan kerana kemungkinan kembali untuk mencari makanan dan air” katanya.

Untuk rekod Utusan Malaysia pernah melaporkan seorang penduduk maut dibaham harimau belang di kampung berkenaan sekitar 1994 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya