ALOR SETAR: Pelajar Program Doktor Falsafah (PhD) jurusan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Esam M. M. Elkahlout yang syahid akibat kekejaman tentera zionis beberapa hari lalu, adalah seorang yang berani dan sentiasa bersemangat memperjuang nasib serta hak rakyat Palestin.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, pemergian Esam ketika berusia 38 tahun boleh dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat negara itu.
Katanya, beliau merupakan penyelia kedua Esam yang memulakan pengajian di UUM sewaktu Covid-19 melanda seluruh dunia sebelum ini.
PEGUAM
“Esam adalah seorang peguam dan dia hadir dari keluarga yang terlibat dalam bidang perundangan serta dihormati. Dia memulakan pengajian sewaktu Covid-19 menyerang seluruh dunia dan disebabkan itu kami lebih banyak berkomunikasi secara dalam talian.
“Allahyarham memiliki keperibadian yang baik dan kesungguhannya untuk mendalami ilmu berkaitan perundangan antarabangsa tidak boleh dipertikaikan. Pengajiannya di UUM melibatkan hak-hak berkaitan Palestin di bawah undang-undang antarabangsa.
“Esam tidak terlibat dengan keganasan sebaliknya dia tegar memperjuang hak-hak Palestin. Maka bagi saya, pemergiannya merupakan satu kehilangan cukup besar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Prof. Harlida Abdul Wahab berkaitan, Esam disahkan terbunuh beberapa hari lalu akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza.
Sementara itu Mukhriz berkata, individu seperti Esam mungkin dilihat sebagai ancaman kepada tentera zionis berikutan kemampuannya untuk berhujah di peringkat antarabangsa.
“Apabila undang-undang antarabangsa dijadikan sebagai medium untuk mendapatkan keadilan, maka itu boleh dilihat sebagai satu ancaman buat zionis. Ancaman itu mungkin dilihat lebih besar berbanding senjata kerana individu sebegini boleh mempengaruhi dunia untuk menyokong kemerdekaan Palestin melalui langkah diterima semua pihak.
“Esam bagi saya tidak menunjukkan rasa gentar untuk semua itu dan dia sentiasa bersama masyarakatnya di Gaza. Dia dan keluarga memiliki kemampuan untuk berpindah ke tempat lain tetapi mereka memilih kekal di Gaza untuk terus bersama masyarakat di sana memperjuang tanah air mereka,” katanya. – UTUSAN










