ECERDC sedia jadikan Tok Bali sebagai pelabuhan penuh

ECERDC sedia jadikan Tok Bali sebagai pelabuhan penuh

BAIDZAWI Che Mat (tiga kiri ) dan Mohd. Nassuruddin Daud (tengah) bergambar bersama penerima sijil penyertaan Kursus Empower ECERDC sempena Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)  sedia menjadikan kawasan Tok Bali sebagai sebuah ‘full-fledged port’ atau pelabuhan penuh bagi melengkapi fungsinya sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, ketika ini pihaknya sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk meneliti perkara tersebut.

Menurutnya, kajian itu akan memberi tumpuan kepada mengenal pasti perkara-perkara yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat menjadikan kawasan Tok Bali sebagai sebuah pelabuhan penuh.

“Kajian akan mengambil masa dari tahun ini sehingga tahun hadapan. Kelantan sebenarnya mempunyai banyak bahan mentah dan sekarang ini Tok Bali menjalankan perkhidmatan untuk semua kemudahan industri minyak dan gas di Wilayah Pantai Timur.

“Sebenarnya banyak perkara dan industri boleh menggunakan kawasan Tok Bali dan ECERDC memang berhasrat untuk mempertingkatkan serta melebar luaskan Pelabuhan Tok Bali kepada pelabuhan penuh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 ECERDC yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Tunjong, di sini hari ini.

Baidzawi memberitahu, kajian kebolehlaksanaan tersebut akan turut melihat kemampuan Pelabuhan Tok Bali menyaingi pelabuhan-pelabuhan lain seperti Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kuantan.

Katanya, ketika ini Tok Bali mempunyai taman perindustrian, taman pemprosesan ikan dan Tok Bali Supply Base.

Baidzawi berkata, Kelantan sebenarnya mempunyai potensi besar dalam kesemua kluster pelaburan iaitu pembuatan, pelancongan, pertanian, logistik dan petrokimia.

“Dalam pelancongan umpamanya, ‘train to Dabong’ merupakan satu cerita besar di negeri ini yang membuktikan ramai pelancong domestik menjadikan Kelantan sebagai destinasi pilihan mereka atas pelbagai faktor.

“Peranan ECERDC dalam bidan gini adalah untuk mencipta destinasi. Ia merangkumi aspek penyediaan fasiliti bagi memudahkan kemasukan serta penginapan pelancong yang sekali gus akan memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Baidzawi menjelaskan, bidang pertanian di Kelantan pula perlu dilaksanakan pada skala besar supaya memberi makna kepada negeri ini berikutan masih mempunyai banyak tanah pertanian terbiar terutama di kawasan Hulu Kelantan.

“Teknologi tinggi serta lain-lain kemudahan berkaitan perlu disediakan bagi memastikan industri pertanian di negeri ini dapat memberi impak ekonomi besar dan menyediakan pekerjaan bernilai tinggi.

“Selain itu, ECERDC turut memainkan peranan untuk memastikan projek infrastruktur besar seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dapat disiapkan mengikut jadual,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya