PETALING JAYA: DAP hanya mempunyai 40 ahli Parlimen sekali gus menunjukkan parti itu tidak boleh mempengaruhi, apatah lagi meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti digembar-gemburkan oleh Pas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, di sebalik angka itu, DAP terus menjadi mangsa tuduhan Pas kononnya parti itu mendesak persempadanan kawasan Parlimen dilakukan segera.
Jelasnya, langkah kajian persempadanan dibuat dengan mengambil kira faktor peningkatan penduduk, bukannya atas dorongan dan pengaruh politik.
“Sudah menjadi tabiat Pas untuk setiap hari memburukkan DAP walaupun kita melakukan sebarang tindakan mengikut lunas undang-undang negara. Logiknya, kita DAP ada 40 ahli Parlimen sahaja, mana mungkin kita mahu melakukan persempadanan kawasan Parlimen tanpa sokongan majoriti ahli Parlimen lain.
“Ikut logiknya Sabah dan Sarawak yang lebih luas daripada Semenanjung Malaysia, sepatutnya mesti ada penilaian semula. Tetapi mengapa Pas terus meletakkan kesalahan kepada DAP? Ini merupakan strategi mereka untuk memikat pengundi Melayu atas pagar agar tidak memihak kepada DAP, kononnya memberi ancaman terhadap kedudukan Melayu dan Islam,” katanya.
Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya menyifatkan cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen khususnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 hanya akan menguntungkan DAP menerusi pertambahan kerusi parti itu.
Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub menjelaskan cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dibuat dengan mengambil kira peningkatan penduduk setiap kawasan yang semakin meningkat.
“Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar juga menjadi faktor penambahan penduduk ini untuk mencari rezeki yang baik. Ini sebab antara asas persempadanan semula dibuat,” katanya. – UTUSAN










