GUA MUSANG: Seorang peniaga bertindak membunyikan hon pacuan empat rodanya untuk mengejutkan penduduk bagi memaklumkan kampung mereka sudah dilanda banjir selepas air melepasi jambatan awal padi tadi.
Mazita Mamat, 44, menyedari situasi itu semasa dalam perjalanan untuk keluar berniaga pada pukul 5.30 pagi tadi.
Katanya, sebaik sahaja melihat air sudah melimpah di atas jambatan Sungai Kerak di Kampung Limau Kasturi dia terus membunyikan hon kenderaan untuk mengejutkan penduduk kampung daripada tidur.
“Saya terpaksa membunyikan hon kenderaan bagi mengejutkan penduduk supaya mereka berjaga-jaga dengan paras air yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang pemilik kedai runcit, Ramli Dollah, 49, memberitahu, sebaik sahaja menyedari air Sungai Galas sudah melimpah ke atas Jambatan Sungai Kerak dia telah mula memindahkan barang jualan ke atas rumah rakit.
Katanya, rumah rakit berkenaan dibuat bagi menyelamatkan barangan daripada ditenggelami air banjir.
Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd. Shaffien Mohmood berkata, sehingga pukul 6 petang ini keadaan cuaca masih hujan dan paras air dilihat semakin menaik.
Katanya, dia menasihatkan agar penduduk sentiasa bersiap sedia untuk berpindah jika air semakin meningkat serta menyimpan barangan di rumah bangsal dan rumah rakit yang telah dibuat.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 setakat ini.
Katanya, setakat pukul 3.26 petang seramai empat keluarga membabitkan 22 penduduk sudah berpindah ke PPS berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jambatan tersebut sudah tenggelam menyaksikan kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian di sini terputus hubungan.-UTUSAN