Benteng PLSB di Rantau Panjang pecah selebar 20 meter

Benteng PLSB di Rantau Panjang pecah selebar 20 meter

TANGKAP layar keadaan benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lancang, Rantau Panjang, Kelantan yang pecah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang di sini pecah selebar 20 meter sejak pagi semalam.

Difahamkan, situasi berlaku akibat arus deras sekali gus menyaksikan beberapa kawasan di Meranti, Gelang Mas Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat mula ditenggelami banjir.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Marinamarican Abdullah berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat ke lokasi memandangkan arus masih deras.

Menurutnya, benteng yang pecah pagi semalam itu ekoran peningkatan paras air Sungai Golok yang tinggi iaitu 11.03 meter.

“Benteng berkenaan hanya ketinggian 10 meter (m) lebih. Setakat ini kita hanya melihat benteng itu menerusi video yang tular,” katanya.

Semalam tular satu video yang memaparkan benteng PLSB itu pecah dipercayai akibat arus deras.

Sementara itu seorang penduduk Rantau Panjang Nasran Nasuha ketika dihubungi mengakui paras air Sungai Golok semakin menurun.

Katanya, setakat pukul 4 pagi tadi bacaan air di sungai berada pada tahap 10.68 berbanding 11.03 meter semalam.

“Saya harap banjir cepat surut dan kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Penduduk Rantau Panjang yang terkesan dengan banjir mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak terowong air di projek Lemba­ngan Sungai Bersepadu (PLSB) Su­ngai Golok di sini bagi mengatasi masalah banjir termenung setiap kali musim tengkujuh.

Dakwa penduduk, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berlindung lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus mengundang rasa kurang selesa.

Pada masa sama, mereka mendakwa turut berdepan masalah penyakit kulit apabila terpaksa mengharungi banjir termenung setiap mahu pulang untuk melihat keadaan rumah.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, langkah tersebut dilihat mampu mengurangkan kesan banjir yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di lebih 10 buah kampung sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya.

Menurutnya, jika tiada usaha segera berkemungkinan besar lebih banyak kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN