JOHOR BAHRU: Seramai 83 penduduk daripada 25 keluarga di Mersing kini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) kerana terjejas akibat banjir setakat pukul 8 pagi ini di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Kompleks Taman Negara Endau-Rompin.
“Sementara itu, terdapat dua laluan di daerah Mersing yang kini telah ditutup, iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Tenggaroh Timur.
“Jabatan Meteorologi menjangkakan beberapa daerah di negeri ini akan dilanda ribut petir, iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Daerah lain, iaitu Segamat, Mersing dan Kota Tinggi pula dijangkakan berlaku hujan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Azmi memberitahu, kejadian banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian. – UTUSAN