Agong rasmi Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah - Utusan Malaysia

Agong rasmi Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan merasmikan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di KotaSAS di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS di sini hari ini.

Baginda tiba di pusat pentadbiran itu diiringi paduka anakanda dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaakob.

Baginda dalam titah perasmiannya menzahirkan rasa bertuah dapat merasmikan PPSAS sebelum berakhirnya tempoh khidmat baginda sebagai Yang DiPertuan Agong.

“Saya rasa bertuah dengan hari yang redup dan penuh keberkatan ini dapat menghadiri majlis yang saya nanti-nantikan sepanjang lima tahun menjadi Agong. Nasib baik dapat diadakan sebelum saya mengakhiri zaman perkhidmatan ini,” titah baginda.

Seri Paduka turut menyentuh tentang kronologi pembinaan PPSAS yang diusahakan baginda bermula 2015.

“Saya kena sebut, kena berkongsi kronologi pembinaan PPSAS ini iaitu pada 2015 saya mempersembahkan kepada Almarhum Ayahanda saya untuk mencadangkan sebuah pusat pentadbiran baru memandangkan Wisma Sri Pahang begitu lama dah dekat 20 tahun dan mempunyai masalah penyelenggaraan dan seterusnya.

“Dan… ditempatkan di KotaSAS ini kerana saya memikirkan sudah sampai masanya bandar Kuantan diperbesarkan lagi supaya kita boleh perluaskan penduduk dan paling penting sekali ialah lalu lintas di Kuantan ini yang semakin hari semakin sesak.

“Mudah-mudahan dengan terbinanya bandar baharu di Bandar Satelit KotaSAS dapat sedikit mengurangkan tekanan kepada kesesakan di bandaraya Kuantan,” titah baginda.

Baginda berharap, dengan terbinanya pusat pentadbiran terbabit, kerajaan negeri dapat mempertingkatkan lagi hasil kerajaan negeri selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, bangunan PPSAS mula dibina pada 2016 melibatkan kos berjumlah RM415.52 juta dengan reka bentuk binaannya diinspirasikan daripada Jata Negeri Pahang.

“Bangunan PPSAS ini terbahagi kepada empat blok utama yang menempatkan keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri, dengan penerapan bangunan pintar yang menekankan ciri-ciri keselamatan seperti sistem pengecaman wajah.

“Selain itu, pembinaan PPSAS juga turut mengaplikasikan teknologi hijau dan penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar seperti mana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku yang mahu setiap pembangunan di negeri ini perlu berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya