KLUANG: Sebanyak 220 kampit beras lima kilogram dan 30 kotak air mineral lima liter dihantar ke enam buah Kampung Orang Asli yang terputus hubungan jalan darat akibat ditenggelami banjir, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bantuan daripada Pertubuhan Ihsan Johor diselaraskan pengagihannya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Kluang itu menggunakan lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot.
Seorang pegawai bersama-sama tujuh anggota daripada pasukan ‘Boatman’ Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang ditugaskan untuk menyelaras kelancaran penghantaran bekalan itu.
“Sebanyak 131 paket beras dan 20 kotak air mineral diagihkan ke Kampung Orang Asli Sedohok, Kampung Orang Asli Kuala Sengka dan Kampung Orang Asli Air Pasir, Kahang dengan melalui jalan alternatif dari kilang kelapa sawit Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 17 Jalan Kluang-Mersing.
“Sebanyak 89 paket beras dan 10 kotak air mineral telah diagihkan dengan melalui jalan sungai kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Pucur dan Kampung Orang Asli Berasau, Kahang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pihaknya akan sentiasa memantau keadaan air Sungai Sembrong yang dilihat masih tinggi ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas.
“Dalam pada itu, penduduk Orang Asli yang menggunakan bot untuk urusan mendapatkan bekalan makanan di Pekan Kahang diingatkan agar sentiasa menggunakan jaket keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN