10 janda warga asing antara 28 ditahan terlibat parti liar - Utusan Malaysia

10 janda warga asing antara 28 ditahan terlibat parti liar

YAHAYA Othman (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang Disember 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 10 wanita warga asing berstatus janda ditahan bersama 18 individu lain dalam sebuah parti liar yang diadakan di sebuah rumah inap desa di Bentong, dekat sini tengah malam semalam.

Daripada 28 individu yang ditahan itu, 12 orang merupakan lelaki warganegara tempatan, 13 wanita Thailand dan tiga wanita warganegara Laos.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Katanya, lapan daripada suspek merupakan pekebun durian dari Raub dipercayai antara individu yang menganjurkan parti liar terbabit.

“Kesemua mereka ditahan di sebuah rumah inap desa yang disewa pada kadar RM4,000 sehari pada pukul 12.05 tengah malam semalam dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas semua suspek namun tidak menjumpai apa-apa barang salah.

“Bagaimanapun hasil ujian saringan awal dadah mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Ketamine,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang Disember 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Menurut Yahaya, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam penagihan dadah dan seorang warganegara tempatan berusia 34 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1956. Kesemua mereka direman selama empat hari dan dituduh di Mahkamah Bentong hari ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan kepada mana-mana pemilik rumah inap desa atau resort supaya berhati-hati terhadap penyewa agar rumah dan bilik yang disewakan tidak digunakan untuk perkara yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya