Warisan masih `gah’, mampu bersaing dalam PRN  - Utusan Malaysia

Warisan masih `gah’, mampu bersaing dalam PRN 

Warisan masih `gah' dan mampu bersaing pada PRN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) masih `gah’ dan yakin mampu bersaing menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dikatakan diadakan lebih awal  berbanding penggal penuhnya tamat pada Oktober 2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, penganalisis tidak boleh mengatakan Warisan semakin lemah kerana mana-mana pembangkang di peringkat Persekutuan atau negeri tiada kelebihan seperti kerajaan sebelum dan semasa tempoh berkempen. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu berkata, untuk menilai kelemahan sebuah parti  secara adil, beliau menyarankan supaya parti politik kerajaan tidak menggunakan jentera kerajaan dalam mempromosi dan menyebarkan propaganda. 

“Cuba bayangkan bagaimana jika kerajaan umumkan banyak tawaran, orang awam pasti melihatnya semula kepada parti politik. Sudah tiba masanya perkara mengarut ini dihentikan walaupun saya sedar ia sukar. 

“Saya akui keadaan sekarang mencabar, dan kami tiada kelebihan itu namun tidak juga bermakna kami lemah. Kami cuba sedaya upaya menjadi kerajaan kembali. Yang penting Warisan mahu membawa perbezaan dan pembaharuan untuk Sabah,” katanya ketika dihubungi semalam. 

KELEBIHAN

Semalam, seorang penganalisis politik, Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun dalam sebuah portal dilaporkan berkata, PRN awal di Sabah mungkin memberi kelebihan kepada  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana  Warisan ketika  berada di tahap terlemah dalam sejarah parti itu. 

Menurut laporan itu, Warisan juga didakwa berdepan isu dalaman yang perlu diselesaikan selain partinya masih dipimpin oleh pemimpin yang sudah tua dan hilang daya tarikan pengundi.  

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman ketika dihubungi berkata, kelebihan kerajaan negeri dari sudut kewangan dan kuasa tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya negeri. 

Katanya, semasa PRN terdahulu, GRS masih gagal menunaikan janji-janjinya seperti menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI). 

“Masih segar dalam ingatan rakyat Sabah apabila mereka berjanji menghantar pulang tetapi hari ini bukan sahaja tidak dihalau keluar, sebaliknya memberi Kad Warga Asing yang asalnya adalah Pas Sementara Sabah (PSS). Ini pembohongan yang nyata,” katanya. 

Kata bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu, kelompongan  dalam kerajaan menyaksikan hampir semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu berdepan kerugian seperti yang diakui menteri-menteri Sabah.

“GLC Sabah rugi kerana lantikan-lantikan politik. Ada yang tidak mampu bayar gaji selain GRS gagal memacu ekonomi walaupun kononnya sudah ada pertambahan pendapatan dari segi cukai jualan petroleum lima peratus yang menyumbang lebih RM1.8 billion kepada pendapatan tahunan Sabah, namun ini peninggalan Warisan dahulu. 

“Maka, saya percaya, ini juga bakal menjadi salah satu faktor menentukan parti mana akan menjadi pilihan rakyat Sabah kelak. Isu tuntutan hak Sabah juga akan menentukan pola undian kerana rakyat  akan menilai parti mana yang secara jelas boleh memperjuang hak dan tuntutan dibandingkan parti-parti lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya